Pengerusi IKIM Kembali Ke Rahmatullah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkesempatan menziarahi Dr Mohd Nur Manuty di HSIS Serdang baru-baru ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty telah kembali ke rahmatullah pagi ini.
Makluman pemergian beliau disampaikan pegawai khasnya Firhan Rosli yang mengesahkan allahyarham meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, Selangor.
“Dengan penuh rasa hiba dan dukacita, dimaklumkan bahawa Murabbi kita semua, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, jam 11:27 pagi, di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam dan negara, khususnya dalam bidang dakwah, keilmuan dan pemikiran Islam.
“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosa beliau, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman,” kata kenyataan itu.
Muhammad, 76, dilantik ke jawatan itu pada 8 Mei 2023.
Beliau merupakan tokoh yang dihormati dalam kalangan ilmuan Islam dan pernah menyumbang besar dalam pengukuhan wacana pemikiran Islam di negara ini.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkesempatan menziarahi allahyarham yang ketika itu dirawat di HSIS semasa Anwar menjalani pemeriksaan perubatan tahunan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
