Pemimpin PN ‘Serang Sesama Sendiri’ Guna Pantun Menyindir

Pantun yang seakan ‘dijual’ Ahmad Samsuri rupanya ‘dibeli’ Radzi menggunakan medium platform media sosial seolah menyindir antara satu sama lain biarpun kedua-duanya merupakan pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN).
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN) dilihat makin berantakan apabila hantaran terbaharu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Radzi Jidin yang memuat naik serangkap pantun dipercayai menyentuh soal kuasa dan kedudukan politik semasa.
Seakan memberi ‘isyarat’ tertentu biarpun kepada rakan dalam gabungan parti, budaya ‘memberi dan menjual’ pantun yang semakin rancak kebelakangan ini dijadikan medium melepaskan ‘amarah’ sambil menyindir mana-mana pihak yang mungkin ‘terasa’ dengan pantun berkenaan, dipercayai ditujukan kepada Pengerusi PN sendiri, Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Ramai orang membela rusa,
Rusa dibela di tepi gua,
Usah dibuai dengan kuasa,
Sampai masa ke tanah jua,” tulisnya menerusi hantaran di media sosial.
Pantun empat kerat Ahmad Samsuri sebelum ini turut mencetuskan perhatian apabila dilihat mempunyai nada sinis terhadap situasi politik semasa Bersatu.
“Anak Cina pergi ke pekan,
Singgah sebentar membeli lokan,
Kalau pemimpin sibuk berebut jawatan,
Rakyat akhirnya jadi korban,” tulis Samsuri dalam satu hantaran di Facebook beliau.
Pantun tersebut dimuat naik ketika Bersatu sedang bergelut dengan krisis dalaman susulan tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa wakil rakyat serta pemimpin parti sejak kebelakangan ini.
Antaranya adalah Muhammad Islahuddin (Mersing), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Turut digantung ialah ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man, ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain dan ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


