Pemimpin Perpaduan Gabung Tenaga Tawan Sungai Bakap

Kehadiran isteri Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turun padang berkempen di DUN Sungai Bakap menambah kekuatan jentera kempen Perpaduan bagi membantu Cikgu Joohari pada PRK Sungai Bakap.

PENDAPAT, 26 JunKempen PRK Sungai Bakap semakin meriah apabila pimpinan peringkat nasional silih berganti turun padang menyantuni pengundi serta menyertai ceramah-ceramah mega di kawasan-kawasan sasaran dalam DUN tersebut.

Paling dilihat meriah sudah pastilah gerak kerja kempen daripada calon Perpaduan iaitu Dr. Joohari Ariffin atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Joohari calon NO 1 untuk PRK Sungai Bakap.

Walaupun kempen PRK Sungai Bakap masih dalam minggu pertama, apa yang menarik ialah sudah ramai pemimpin-pemimpin daripada Kerajaan Perpaduan yang berjawatan tinggi dalam kerajaan serta parti telah turun membantu Cikgu Joohari sejak gelanggang kempen dibuka secara rasmi pada 22 Jun lalu.

Biasanya dalam mana-mana PRK, kempen pada minggu pertama ini agak perlahan berbanding minggu kedua sebelum tibanya hari pengundian.

Ketua Wanita KEADILAN merangkap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menunjukkan bakat menebar roti canai sempena kempen PRK DUN Sungai Bakap.

Tetapi berbeza dengan di Sungai Bakap ini, selain Cikgu Joohari sendiri ligat dengan pelbagai program setiap hari, kehadiran pemimpin-pemimpin yang berjawatan dalam pusat juga amat memberangsangkan.

Sehingga ini, antara pemimpin tinggi yang datang berkempen ialah Timbalan Presiden KEADILAN Mohd Rafizi Ramli, Setiausaha Agung KEADILAN Datok Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang.

Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar antara yang turut berkempen pada PRK DUN Sungai Bakap sejak 22 Jun lalu.

Selain Nurul Izzah yang paling dilihat paling
‘berkampung’ di Sungai Bakap ialah Ketua Wanita KEADILAN Pusat Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Fadhlina bersama pasukan jentera Wanita KEADILAN dari seluruh negara mengatur pelbagai aktiviti untuk menyantuni pengundi ke pelusuk Sungai Bakap.

Cikgu Joohari mendapat sokongan padu daripada pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen bermula 22 Jun lalu dan dijangka akan lebih hebat menjelang minggu kedua kempen.

Turut membantu calon Perpaduan ialah Timbalan Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan ramai lagi bersama memastikan kempen berlangsung dengan berkesan.

Selain itu, turut mewarnai pentas ceramah Perpaduan ialah Presiden Parti Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said. Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan lain-lain.

Dr. Wan Azizah dan Nurul Izzah menjadi tulang belakang kempen di kalangan wanita dan remaja pada PRK DUN Sungai Bakap dalam memastikan kemenangan Cikgu Joohari pada 6 Julai nanti.

Dua pemimpin utama DAP Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut mewarnai latar kempen.

Figura paling istimewa yang membantu kempen calon Perpaduan adalah Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN merangkap isteri Perdana Menteri juga turut menyantuni pengundi Sungai Bakap.

Fadhlina menunjukkan logo HARAPAN kepada pengundi semasa kempen PRK DUN Sungai Bakap kerana hanya parti kerajaan yang boleh membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka.

PETANDA POSITIF

Sikap peka pemimpin-pemimpin pusat, negeri dan cabang membantu kempen menyuntik semangat untuk jentera perpaduan terus berkempen dengan gigih serta dengan satu misi – menawan Sungai Bakap dengan kemenangan bergaya.

Semua ini adalah petanda positif yang menunjukkan semua pihak sedang bekerja keras untuk memastikan kemenangan Cikgu Joohari pada 6 Julai akan datang, sekaligus merampas Dun Sungai Bakap yang sebelum ini dimenangi calon Pas mewakili PN.

Tanpa menunggu lama, pada minggu pertama lagi sudah ramai yang turun ke Sungai Bakap.

Perkembangan ini sudah tentu memberi bayangan lebih ramai menteri dan timbalan menteri lagi yang akan turun ke Sungai Bakap pada minggu kedua nanti.

Dengan itu, setidak-tidaknya keyakinan pengundi untuk memberi undi kepada Calon Kerajaan Perpaduan pada 6 Julai nanti akan turut meningkat dengan sendirinya.

  • Oleh Noraini Nordin

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *