Badan Berkanun, Lembaga Amanah Perlu Suntikan Dana – Roland

Roland berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan susulan keputusan Kerajaan Sarawak mahu menghentikan suntikan dana kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) mulai 2027.

MIRI, 27 Jun – Badan berkanun dan badan lembaga amanah di negeri ini perlu diberi suntikan dana oleh Kerajaan Sarawak untuk mencapai tujuan penubuhan mereka.

Pengerusi KEADILAN Sarawak Roland Engan berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan susulan keputusan Kerajaan Sarawak mahu menghentikan suntikan dana kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) mulai 2027.

KEADILAN Sarawak katanya, amat mengalu-alukan rancangan Kerajaan Sarawak untuk menghentikan suntikan dana tersebut dan menyifatkan ia langkah positif untuk memastikan dua badan berkanun itu boleh berdikari dan akhirnya berpotensi meringankan beban kewangan kerajaan.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan boleh menyalurkan dana berkenaan kepada pembinaan infrastruktur untuk keselesaan rakyat.

“Selain itu, SEDC dan BDA sudah sepatutnya mulai mengambil langkah reformasi dalaman masing-masing untuk mempersiapkan diri, bukan sahaja untuk berdikari semata-mata, bahkan menjadi badan berkanun yang boleh menjana pendapatan tinggi untuk Sarawak kelak.

“Berkaitan dengan itu, jika suntikan dana untuk SEDC dan BDA akan dihentikan, badan berkanun dan badan amanah lain mesti diberi suntikan dana oleh kerajaan untuk mencapai tujuan penubuhan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Secara khusus, saya masih ingat Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH), yang masih belum mencapai tujuan penubuhannya seperti dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara beberapa tahun yang lalu,” ujar Roland.

“Bagaimana pula dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan badan-badan berkanun lain yang sepatutnya sekian lama berdikari selama ini?

Katanya, KEADILAN Sarawak yang berjuang untuk ketelusan dan tatakelola yang baik bersedia memberi input dan komitmen bagi memastikan ketirisan dihentikan dengan segera.

Di samping itu, katanya pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu bersikap lebih tegas di Sarawak dalam menyiasat segala aduan, jika ada, terhadap ketirisan kewangan yang merugikan wilayah Sarawak dan rakyatnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *