Pemerintahan Sultan Ibrahim Yang Bijaksana Lambang Keluhuran, Penyatuan Negara – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 2 Jun 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bijaksana sentiasa menjadi lambang keluhuran dan penyatuan negara.
“Titah baginda juga sentiasa menjadi panduan luhur bagi Kerajaan MADANI dalam membentuk dan melakar dasar serta melaksanakan tanggungjawab, menjunjung aspirasi rakyat dan memastikan kesejahteraan menyeluruh dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat,” kata Perdana Menteri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ucapan sembah tahniah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.

Selain Sultan Ibrahim, turut berangkat pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan jemaah menteri lain.
Anwar berkata, seluruh rakyat menzahirkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Ibrahim serta memperteguh ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta.

Jelas Anwar, Malaysia memperkukuh peranan sebagai pemangkin dan peneraju diplomasi serantau menerusi Kepengerusian ASEAN 2025.
“Sidang Kemuncak ASEAN kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya Malaysia, sebagai Pengerusi, berjaya mempertemukan tiga benua gergasi iaitu Negara-negara Teluk atau Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN.
“Usaha dan upaya kita menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarakkan ekonomi rakyat dan negara, selain merapatkan hubungan antara negara dalam pelbagai bidang yang punyai kepentingan bersama,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
