Pemecatan Anggota Polis Indonesia Langgar Ojek Iktibar Buat Para Penguatkuasa

Rusuhan tercetus ekoran keputusan pemerintah memberi keistimewaan kepada ahli parlimen, berakhir dengan kematian Affan Kurniawan yang menjadi iktibar kepada semua pihak termasuk anggota penguatkuasa.
PENDAPAT, 4 Sep – Kisah pemandu ojek (ojol) yang dilanggar anggota polis, Affan Kurniawan pada Khamis lepas menjadi iktibar dan pengajaran terhadap mana-mana agensi penguatkuasa di mana-mana sahaja.
Perlanggaran etika berhubung insiden berkenaan mencetuskan perdebatan sama ada tindakan yang dilakukan anggota polis itu wajar atau sebaliknya.
Protes jalanan yang pada awalnya disebabkan ketidak adilan pemerintah terhadap keistimewaan melampau ahli parlimen, berakhir dengan rusuhan ganas melanda kebanyakan bandar dari Makassar, Yogyakarta hinggalah ke Kalimantan.

Walaupun jurucakap Polis Nasional, Trunoyudo Wisnu Andiko yang menjelaskan pegawai bernama Cosmas K. Gae didapati bertindak tidak profesional ketika insiden berkenaan, ia masih tidak dapat menjelaskan motif mengapa Affan digilis dan rakaman insiden tersebar ke seluruh dunia.
“Tindakannya adalah perbuatan yang tercela,” katanya, sambil menegaskan hukuman dijatuhkan adalah pemecatan sebagai anggota polis nasional.
Lanjutan itu, media tempatan mendedahkan Cosmas berada di dalam kenderaan yang merempuh Affan, namun polis tidak memperincikan penglibatannya, menyebabkan rakyat mempersoal SOP pengendalian rusuhan di negara itu.

Anggota berkenaan mempunyai tiga hari untuk membuat rayuan, dan beliau menegaskan hanya menjalankan tugas bagi mengekalkan ketenteraman awam dan ‘tidak berniat mencederakan sesiapa’.
Apa yang kita boleh pelajari di sini, sebarang protes awam mestilah dilakukan dengan pertanggungjawaban sama ada pihak berkuasa mahupun peserta kerana apa yang berlaku di negara jiran itu sangat tidak boleh diterima dengan suasana dan budaya rakyat Malaysia.
Bagaimanapun ada hikmah yang terjadi susulan insiden berkenaan termasuk sentuhan rakyat Malaysia membantu ojek yang tiada ‘job’, menggerakkan hati rakyat Singapura, Thailand dan Filipina melakukan perkara serupa.

Inilah tanda solidariti rakyat serumpun membantu sesama sendiri di saat sebuah negara dilanda badau, negara lain sama membantu dengan harapan mereka tidak kelaparan dalam usaha memulihkan ekonomi pasca rusuhan yang bermula 25 Ogos lepas.
Kesemua kisah yang diceritakan dan disaksikan wajar diambil iktibar semua pihak agar mematuhi undang-undang tidak kira di mana sahaja sama ada di Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina malah di Singapura sendiri.
Keamanan dan kestabilan merupakan kunci kepada pertumbuhan ekonomi serta tidak wajar digadaikan pemerintah mana-mana negara hanya kerana sekelumit nikmat yang akhirnya boleh meranapkan sesebuah negara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
