Pembangunan Sabah Fokus Tumpuan Pertemuan PM Anwar-Tun Musa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan kunjungan Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Datu Seri Panglima Musa Aman dalam majlis khas di Seri Perdana, Putrajaya pada 12 Februari 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 13 Feb – Tumpuan terhadap agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah merupakan antara topik perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meraikan kunjungan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman di Seri Perdana, pada Khamis.
Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar memberitahu, perbincangan tertumpu kepada perancangan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi Sabah, selain usaha memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.

Katanya, isu penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik atau lebih sinonim dengan AJK (air, jalan dan karan (elektrik)) turut menjadi fokus utama bagi memastikan rakyat Sabah tidak terus dinafikan hak menikmati kemudahan asas yang sempurna.
“Kerajaan Persekutuan komited memastikan pembangunan Sabah dilaksanakan secara adil dan menyeluruh, berpaksikan keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan tersebut mengukuhkan tekad bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memastikan kemajuan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada seluruh warga Sabah tanpa mengira latar belakang.
Terdahulu, Tun Musa Aman mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Seri Perdana sebagai sebahagian daripada sesi pertemuan rasmi membincangkan hal ehwal pentadbiran dan pembangunan negeri.

Tun Musa berada di ibu negara bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-271 yang diadakan di Istana Negara dan dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu dan Khamis.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
