Pemandu Lori Kantoi Cuba Larikan 3,400 Liter Diesel Dicekup

Enam unit Intermediate Bulk Container (IBC) dirampas mengandungi diesel bersubsidi sebanyak 3,400 liter dalam serbuan di Klang pada 17 April 2026. Foto KPDN Selangor

KLANG, 18 Apr – Tindakan pantas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya mematahkan cubaan nekad seorang pemandu lori melarikan diri bersama 3,400 liter diesel bersubsidi di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, seorang pemandu berusia 20-an ditahan bersama lori yang diubahsuai lengkap dengan tangki minyak tambahan berkapasiti 6,000 liter.

“Hasil daripada pemantauan rondaan Op Tiris 4.0 berjaya mengesan sebuah lori jenis bonded yang mencurigakan sedang membuat pengisian bahan api jenis diesel di sebuah stesen minyak di sekitar Pandamaran, di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori terbabit mendapati membawa enam unit Intermediate Bulk Container (IBC) masing-masing berkapasiti 1,000 liter yang semuanya berisi bahan api disyaki diesel.

“Badan lori juga sudah diubah suai dengan peralatan pemindahan bahan api seperti hos penyambung dan pam bermeter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika ditahan suspek cuba melarikan diri bersama jentera berat itu namun gagal meloloskan diri dan ditahan.

Mohd Hanizam berkata, suspek disyaki membuat pengisian minyak di beberapa stesen sekitar kawasan itu berdasarkan resit pembelian yang ditemui.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang juga warga tempatan itu tidak memiliki dokumen sah untuk membawa atau memiliki diesel bersubsidi terbabit.

“Pihak stesen minyak juga diambil tindakan untuk disiasat di bawah Akta yang sama iaitu di bawah Subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974- Pelanggaran Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan dalam melebihi RM100,000 dan hasil rondaan oleh anggota bertugas di stesen minyak berjaya menyelamatkan subsidi mencecah RM20,000.00 dalam skala kes ini,” katanya.

Menurutnya, KPDN Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengesyorkan pembatalan atau menggantung kelulusan fleet card Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi pihak yang menyeleweng bahan api terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkannya menerusi saluran rasmi KPDN iaitu Whatsapp, 019-848 8000; aplikasi Ez Adu KPDN; Hotline KPDN, 1-800-886-800 atau portal e-aduan KPDN, http://eduan.kpdn.gov.my.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *