Hanya 15 Peratus Terkesan Kenaikan Diesel, 85 Peratus Diesel Subsidi – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa pada 18 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENGKALAN CHEPA, 18 Apr – Kajian menunjukkan peningkatan harga diesel hanya memberi kesan kepada 15 peratus rakyat di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri mendedahkan, baki 85 peratus adalah rakyat yang membeli diesel dengan harga subsidi, bukannya harga pasaran.

“Orang bangkitkan harga minyak diesel yang tinggi, saya akui dan setuju ada yang terkesan dengan peningkatan harga diesel termasuk sektor pengangkutan.
“Namun, hanya 15 peratus rakyat yang terkesan dengan membeli harga pasaran, manakala 85 peratus lagi adalah membeli dengan harga subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, hari ini.
Terminal berkenaan menelan belanja RM447 juta dengan keluasan bertambah tiga kali ganda yang mampu menampung empat juta penumpang setahun.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ada yang marah dengan mengatakan nelayan terkesan susulan kenaikan diesel, sedangkan golongan berkenaan membeli dengan harga subsidi.

“Jadi jangan beri contoh seperti itu. Apakah kita perlu langkah untuk meringankan beban rakyat? Ya, kita ada rundingan setiap hari untuk mencari jalan meredakan beban rakyat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
