Pelosi Tetap Turun Ke Taiwan Tapi…

WASHINGTON, 31 Jul – Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi akan mengetuai delegasi kongres ke rantau Asia-Pasifik, dengan singgah di Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun.

Perkara itu disahkan pejabat Pelosi hari ini, namun tidak menyatakan sama ada enam anggota delegasi itu akan melawat Taiwan, yang menjadi titik ketegangan dalam perbualan antara China dan Amerika Syarikat (AS) menjelang lawatan itu.

“Lawatan itu akan memberi tumpuan kepada keselamatan bersama, perkongsian ekonomi dan tadbir urus demokratik di rantau Indo-Pasifik,” kata kenyataan itu.

Delegasi berkenaan semuanya terdiri daripada ahli Demokrat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Gregory Meeks dan ahli Jawatankuasa Pilihan Tetap mengenai Perisikan serta Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata.

“Delegasi kami akan mengadakan mesyuarat peringkat tinggi bagi membincangkan bagaimana kami boleh memajukan lagi kepentingan dan nilai bersama, termasuk keamanan dan keselamatan, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan, pandemik COVID-19, krisis iklim, hak asasi manusia serta tadbir urus demokrasi,” kata Pelosi dalam kenyataan itu.

Kementerian Luar Singapura mengesahkan delegasi Pelosi akan melawat negara itu pada 1 hingga 2 Ogos, dengan pertemuan dijadualkan bersama Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Sejak berminggu lalu, ketegangan AS-China semakin meningkat susulan laporan bahawa Pelosi mungkin melawat Taiwan yang ditadbir sendiri, yang dilihat China sebagai sebahagian daripada wilayahnya untuk disatukan semula secara paksaan jika perlu.

Khamis lalu, Presiden Joe Biden dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping berbual melalui telefon, yang mana kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menjadualkan sidang kemuncak pertama mereka.

Bagaimanapun, perselisihan faham mengenai Taiwan mengaburkan perbualan, dengan Jinping memberi amaran kepada AS untuk tidak ‘bermain api’ di pulau itu.

AS mengekalkan dasar ‘kesamaran strategik’ sama ada ia akan campur tangan secara ketenteraan jika China menyerang Taiwan dan sementara ia mengiktiraf tuntutan Beijing ke atas pulau itu, ia juga menyokong kerajaan Taiwan yang demokratik. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *