Pelbagai Isu Mampu Ditangani Dengan Semangat ASEAN – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis pembukaan 46th ASEAN Inter-Parliamentary Assmebly (AIPA) General Assembly (GA) ke-46 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 18 September 2025.
KUALA LUMPUR, 18 Sep – Semangat saling percaya sesama anggota ASEAN mampu membawa pelbagai perubahan kepada rantau ini sama ada politik, ekonomi dan peralihan tenaga, ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, semangat berkenaan jelas terserlah semasa proses penyelesaian isu sempadan Thailand-Kemboja yang berjaya ditangani dengan baik hingga gencatan senjata berjaya dilaksanakan hujung Julai lalu.
“Apa yang berlaku dalam ASEAN juga menunjukkan semangat saling percaya. Sebagai contoh, konflik kecil antara Thailand dan Kemboja berjaya ditangani kerana semangat ini.

“Begitu juga dalam isu Myanmar, ASEAN bertegas atas terma kita sendiri, hentikan keganasan, beri akses kemanusiaan tanpa diskriminasi, dan libatkan diri dalam komuniti ASEAN.
“Anda (Myanmar) mesti membenarkan bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi. Saya mesti tegaskan, sekurang-kurangnya dalam isu ini, hentikan pengeboman dan kekejaman terhadap etnik minoriti. Kedua, pastikan ada akses kemanusiaan,” katanya.
Kedua-dua prinsip itu dipersetujui dan menyaksikan bantuan kemanusiaan oleh negara anggota berjaya disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Myanmar pada Mac lalu, buat pertama kali sejak sedekad lalu, jelas Anwar.

Namun kini ujar Pengerusi ASEAN itu di sebalik konflik yang berlaku, rantau itu juga perlu memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi dan pelaburan baharu.
“Keutamaan kita, sudah tentu adalah pembangunan ekonomi dan pelaburan baharu. Kita menerima pelaburan besar dari Amerika Syarikat dan Eropah, serta peningkatan pelaburan dari China, India dan negara-negara lain.
“Ia bukan mudah untuk diuruskan, tetapi kita mampu kerana kita bergerak bersama. Bayangkan, kita akan mengadakan sidang kemuncak pada bulan Oktober.

“Jadi kita bukan hanya bercakap tentang 10 atau lebih kurang 11 negara, tetapi tentang negara-negara yang mendapat perhatian dan minat besar daripada negara di Asia, Eropah, Afrika, dan Amerika Latin,” katanya lagi.
Beliau berucap ketika merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
