Pekerja Malaysia Di Singapura Sambut Baik Cadangan Perluas Perlindungan PERKESO

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di UNIFI Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Foto PMO

JOHOR BAHRU, 2 Mei – Pekerja Malaysia di Singapura menyambut baik cadangan kerajaan untuk memperluas skop perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada rakyat negara ini yang bekerja di luar negara, khususnya melibatkan pekerja rentas sempadan.

Akmal Hakim Zainuddin, 35, yang bekerja di SingPost sejak enam tahun lalu berkata, langkah itu bukan sahaja menjamin keselamatan sosial pekerja, malah memberi ketenangan kepada mereka sekiranya berlaku kemalangan atau kehilangan pekerjaan.

Katanya, sebelum ini kebanyakan pekerja Malaysia di republik hanya bergantung kepada perlindungan yang disediakan majikan di negara tersebut, yang mungkin berbeza dari segi manfaat dan liputan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di UNIFI Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Foto JPN

“Selain itu, ketiadaan pelan perlindungan takaful dan insuran peribadi turut mendedahkan mereka kepada risiko kewangan yang tinggi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan serius, hilang upaya atau kematian.

“Kalau ada perlindungan daripada PERKESO, sekurang-kurangnya kami ada ‘backup’ dari negara sendiri. Ini penting sebab ramai antara kami ulang-alik setiap hari khususnya penunggang motosikal terdedah kepada risiko kemalangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi juruteknik, Raja Haziq Raja Jaafar, 32, yang berulang-alik dari rumahnya di Permas Jaya di sini ke tempat kerja di Tuas dengan menunggang motosikal sejak enam tahun lalu turut menyambut baik cadangan sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di UNIFI Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Foto PMO

“Kebiasaannya ada syarikat yang sediakan perlindungan kepada pekerja tetapi sewaktu dalam tempoh bekerja sahaja dan ada yang langsung tak sediakan.

“Jika berlaku kemalangan sewaktu balik ke rumah, memang pekerja terpaksa tanggung sendiri. Di sinilah saya lihat perlunya ada perlindungan diri seperti PERKESO,” katanya.

Cadangan untuk memperluaskan perlindungan PERKESO itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di ibu negara semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di UNIFI Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Foto PMO

Katanya, kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.

Langkah proaktif tersebut bakal memberi manfaat besar kepada kira-kira 480,000 warga tempatan yang selama ini bekerja tanpa sebarang jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

Oleh Azizi Majid

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *