Pegawai Penguat Kuasa Didakwa Esok Kes Seludup Sisik Tenggiling

Antara sisik tenggiling antarabangsa yang dirampas dalam serbuan Op Jaguar, pertengahan tahun lalu.

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Seorang pegawai penguat kuasa disyaki terbabit kegiatan sindiket penyeludupan serta pelupusan sisik tenggiling antarabangsa, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok.

Sumber berkata, suspek ditahan dalam operasi khas ‘Op Jaguar’ yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada pertengahan tahun lalu.

“Lelaki berusia 50-an terbabit disyaki menerima sogokan daripada sindiket supaya tidak menyerahkan sisik tenggiling yang dirampas, kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Antara sisik tenggiling antarabangsa yang dirampas dalam serbuan Op Jaguar, pertengahan tahun lalu.

“Sisik tenggiling dianggarkan seberat 1.8 tan yang juga barang kes hasil rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu tidak diserahkan kepada PERHILITAN bagi tujuan pelupusan.

“Perbuatan itu disyaki dilakukan sekitar September hingga Disember 2019 di Stor Penguatkuasaan Pangkalan Marin, Pelabuhan Klang Utara,” katanya.

Sementara itu Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan sisik tenggiling dipercayai diseludup masuk ke negara ini sebagai transit sebelum ia dihantar ke China dan negara-negara lain yang mendapat permintaan tinggi.

Pelaksanaan Op Jaguar di sekitar Klang, Selangor, dan Kuala Lumpur, pertengahan tahun lalu, menyaksikan SPRM berjaya merampas hampir dua tan sisik tenggiling dipercayai mencecah harga jualan RM13,000 sekilogram dalam pasaran gelap, dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM23.4 juta.

Operasi dijalankan hasil maklumat agensi penguat kuasa dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hong Kong itu turut menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa, selain terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

Dalam operasi terbabit, SPRM turut menyita pelbagai jenis kenderaan mewah serta membekukan beberapa akaun bank bernilai jutaan ringgit disyaki milik sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Penyitaan serta pembekuan semua aset berkenaan dibuat susulan penahanan 10 individu, termasuk pemilik syarikat dan ejen sindiket membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan serta Nepal, dalam operasi khas berkenaan.

– Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *