PAU 2025: Memahami Hasrat Sebenar Ahmad Zahid

Ketegasan Ahmad Zahid bahawa kelangsungan UMNO sebagai parti tunjang orang Melayu dan Bumiputera dalam Kerajaan Perpaduan tidak dapat dinafikan, namun cabarannya sekarang ialah memulihkan kembali semangat dan aspirasi ahli UMNO yang mengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15.
PENDAPAT, 16 Jan – Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 menjelang PRU16 kira-kira 22 bulan lagi jelas dapat difahami dalam kerangka situasi politik semasa yang semakin mencabar dan kompetitif.
Ucapan tersebut bukan sekadar ‘amanat’ tahunan, tetapi satu isyarat strategik untuk menyusun semula kekuatan parti dan menentukan hala tuju UMNO dalam landskap politik baharu.
Ketegasan Ahmad Zahid bahawa kelangsungan UMNO sebagai parti tunjang orang Melayu dan Bumiputera dalam Kerajaan Perpaduan tidak dapat dinafikan, namun cabarannya sekarang ialah memulihkan kembali semangat dan aspirasi ahli UMNO yang mengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15.

Dalam keadaan UMNO tidak lagi dominan seperti dahulu, matlamat utama beliau adalah memulihkan keyakinan akar umbi bahawa penyertaan dalam kerajaan adalah demi kepentingan rakyat dan bukan pengorbanan prinsip. Beliau berusaha meyakinkan ahli bahawa UMNO masih relevan, berpengaruh dan mampu membentuk dasar dan polisi negara.
Sudah pasti ucapan dasar Ahmad Zahid bertujuan memperkukuh kesatuan dalaman parti tanpa mengalami sekali lagi episod perpecahan sama ada dilakukan secara dalaman atau pun tekanan daripada PN.
Menjelang PRU16, Ahmad Zahid menekankan keperluan disiplin, kesetiaan dan penamatan konflik dalaman yang selama ini melemahkan UMNO. Perpaduan parti dilihat sebagai prasyarat utama untuk menghadapi asakan PN yang agresif memainkan sentimen perkauman dan menunggang agama.

Amaran Ahmad Zahid jelas menyasarkan parti itu dengan memposisikan UMNO sebagai rakan strategik yang stabil dalam Kerajaan Perpaduan tetapi mestilah berlandaskan prinsip perjuangan yang digariskan tanpa melanggar ‘garis merah’ orang Melayu dan agama Islam.
Dengan menampilkan naratif kesederhanaan, pengalaman mentadbir dan politik berasaskan realiti, beliau mahu UMNO dilihat sebagai pilihan rasional rakyat yang mahukan kestabilan, bukan retorik populis yang tidak mampu membawa Malaysia keluar daripada kemelut ekonomi beberapa tahun yang mula diperbaiki di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Umno segenap peringkat wajar memahami hala tuju sebenar ucapan dasar Ahmad Zahid di PAU 2025 adalah untuk mengukuhkan UMNO dari dalam, menjustifikasi kerjasama politik sedia ada, dan menyediakan parti sebagai pemain utama yang bersedia kembali meraih sokongan rakyat menjelang PRU16.

Ia sekali gus ‘menoktahkan’ sisa-sisa perjuangan ‘Muafakat Nasional’ yang ternyata sia-sia kerana Pas sudah menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara sejak November 2022.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
