PAU 2025: Jangan Ingat UMNO ‘Parti Daun Kari’ – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 16 Januari 2026. Foto Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan buat rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak cuba mengusik atau memperlekehkan prinsip perjuangan yang dipegang parti itu selama ini.

Menegaskan UMNO tidak akan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan selari janji untuk menjamin kestabilan politik negara dan demi rakyat, Ahmad Zahid berkata, ia bukan bermakna peranan UMNO boleh diketepikan.

“Keberadaan kita dalam Kerajaan Perpaduan, tidak ada usaha tebuk atap, tidak ada usaha tarik brek. Jangan risau, ini Zahidlah, kita setia tapi jangan perkotak-katikkan seluruh kepimpinan UMNO dan ahli UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 16 Januari 2026. Foto Asyraf Wajdi Dusuki

“Tapi kalau (UMNO) diusik, saya dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) lawan tetap lawan. Jangan cuba-cuba yang dijanjikan, nak beri… berilah. Jangan kejap beri kejap berdolak dalih. Cakap depan, jangan pusing-pusing. Kita bila janji, kita buat, bukan janji lain, buat lain.

“Kerana sejarah UMNO, siapa pun yang jadi presiden, apabila kita jalin persetujuan, hubungan dibina bukan dengan sandiwara. Kerjasama dijalin bukan dengan muslihat dan UMNO pegang prinsip kesetiaan dan mesti dibalas dengan penghormartan dan penghargaan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Ahmad Zahid berkata, permuafakatan yang dibentuk selama 38 bulan ini mesti diiringi dengan keihklasan dan diterjemahkan dalam bentuk perpaduan sebenar.

“Namun UMNO bukan parti tempelan atau ‘pelengkap’ kepada mana-mana gabungan. Jangan ingat UMNO ‘parti daun kari’, bila nak masak daun masuk dalam kuali bila dihidang dikuis ke tepi. UMNO adalah tiang seri kepada Kerajaan Perpaduan sekarang,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *