Bursa Malaysia Terus Kukuh Lepasi Paras 1,720 Mata

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.32 mata atau 0.37 peratus kepada 1,721.48 daripada 1,715.16 semasa ditutup pada Khamis selepas dibuka 2.47 mata lebih tinggi kepada 1,717.63.
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat, menjejaki prestasi kukuh semalaman di Wall Street dan sentimen tempatan yang lebih baik menjelang anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 yang akan dikeluarkan hari ini.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.32 mata atau 0.37 peratus kepada 1,721.48 daripada 1,715.16 semasa ditutup pada Khamis selepas dibuka 2.47 mata lebih tinggi kepada 1,717.63.
Indeks petunjuk pasaran itu juga melepasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 1,719.00 pada 26 Februari 2019.
Sentimen pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 169 berbanding 85. Sebanyak 272 kaunter tidak berubah, manakala 2,130 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 107.72 juta saham bernilai RM65.45 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street meningkat untuk ditutup lebih kukuh berikutan sentimen positif terhadap saham berkaitan kecerdasan buatan selain pendapatan yang teguh daripada sektor perbankan, yang mendorong kenaikan dalam kedua-dua segmen itu.
Di dalam negara, beliau berkata FBM KLCI mengekalkan momentum mengagumkan untuk ditutup lebih tinggi semalam, meskipun prestasi lemah pada awal sesi dagangan
“Kami yakin dana asing akan terus mengumpul ekuiti tempatan, seperti yang ditunjukkan oleh aliran masuk asing bersih sejak beberapa sesi lalu. Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada dalam lingkungan 1,710 hingga 1,720 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, pula kekal optimis bahawa pertumbuhan ekonomi untuk suku keempat 2025 akan berada pada sekitar lima peratus, yang akan meletakkan pengembangan sepanjang tahun 2025 pada kira-kira 4.8 peratus, mengukuhkan prospek pemulihan yang berdaya tahan dan dipacu permintaan domestik.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM11.20 dan Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM13.98. Public Bank rendah satu sen kepada RM4.74 manakala CIMB dan IHH tidak berubah masing-masing pada RM8.45 dan RM8.43.
Bag saham paling aktif, Northeast meningkat 4.5 sen kepada 64 sen dan HHRG menambah satu sen kepada 7.5 sen. TWL tidak berubah pada 2.5 sen, manakala MMAG susut setengah sen kepada 4.5 sen dan NexG merosot dua sen kepada 29.5 sen.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



