Paris 2024: Skuad Badminton Disambut Meriah Di KLIA

Skuad badminton negara disambut meriah ratusan peminat sukan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
SEPANG, 7 Ogos – Kehadiran ratusan peminat sukan tanah air menceriakan jaguh perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Kepulangan wira badminton yang menjadi kebanggaan tanah air itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 10.14 pagi tadi.
Mereka bertiga menamatkan misi di tempat ketiga setelah menewaskan lawan masing-masing bagi penentuan pingat gangsa pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Zii Jia menewaskan Lakshya Sen dari India, selepas bangkit daripada ketinggalan satu set dan menang 13-21, 21-16, 21-11 di Porte de La Chapelle Arena, Paris.
Manakala Aaron- Wooi Yik mengatasi Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19.
Turut bersama dalam rombongan itu ialah pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta perseorangan wanita negara Goh Jin Wei.
Yang turut hadir menyambut mereka ialah nenek Zii Jia serta ahli keluarga Aaron-Wooi Yik yang menunggu mereka sejak jam 8 pagi tadi.
Ini merupakan pingat pertama Zii Jia di Sukan Olimpik dan yang ketiga bagi perseorangan negara selepas Datuk Rashid Sidek merangkul pingat gangsa pada Atlanta 1996 dan Datuk Lee Chong Wei bagi pingat perak tiga edisi iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.
Kejayaan ini datang dengan penuh liku-liku perjuangan hingga pada satu ketika Zii Jia hampir menamatkan karier profesionalnya sebelum membuat keputusan meneruskan impian ke Paris sebelum berjaya merangkul gangsa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


