Empat Disahkan Maut Taufan Debby Landa Florida, Amaran Di South Carolina

Sebahagian kawasan di Florida ditenggelami air sedalam dua meter selepas taufan Debby melanda sejak kelmarin. Foto X

MIAMI, 7 Ogos – Sekurang-kurangnya empat orang maut ketika Ribut Tropika Debby membadai Florida kelmarin, mengancam wilayah di tenggara Amerika Syarikat (AS) dengan penurunan hujan lebat dan banjir besar dalam beberapa hari akan datang.

Seorang budak lelaki berusia 13 tahun terbunuh selepas sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah rumah bergerak di Levy County, kata pejabat syerif di sana, selepas Debby melanda Gulf Coast di Florida pada awal kelmarin sebagai hurikan Kategori Satu.

Pihak berkuasa berkata seorang pemandu trak maut selepas kenderaan 18 tayarnya terjunam ke dalam terusan di Daerah Hillsborough, sementara seorang wanita berusia 38 tahun dan budak lelaki berusia 12 tahun terbunuh dalam nahas kereta di Daerah Dixie.

Seorang penduduk mengambil gambar jalan raya yang ditenggelami banjir selepas Taufan Debby melanda Cedar Key, Florida kelmarin. Foto AFP

Ribut itu dijangka akan bergerak ke Georgia semalaman, sebelum menuju ke luar pesisir dan menghampiri pantai Carolina Selatan pada Khamis, menurut Pusat Hurikan Negara (NHC).

“Ini adalah tahap empat daripada empat risiko bagi penurunan hujan berlebihan,” kata pengarah NHC Michael Brennan.

“Ini akan membawa kepada penurunan hujan ekstrem yang berpanjangan dengan potensi bagi banjir yang membahayakan di sekitar bahagian pantai di Georgia,

Carolina Selatan, malah berlanjutan hingga ke Carolina Utara,” tambah beliau.

Gabenor Florida Ron DeSantis menyatakan bahawa kira-kira 250,000 penduduk di wilayahnya mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Tolong, sentiasa berjaga-jaga ketika anda hendak keluar,” katanya, sambil menambah bahawa angin Debby tidak menjejaskan dengan teruk berbanding taufan sebelumnya yang telah melanda Florida.

Presiden Joe Biden pada Ahad telah meluluskan satu deklarasi darurat bagi Florida, membenarkan bantuan persekutuan disalurkan.

DeSantis telah mengerahkan Pengawal Negara di negeri ini, dengan lebih 3,000 anggota perkhidmatan akan membantu dalam operasi menyelamat.

Menjelang lewat tengah hari, NHC berkata ribut telah menyenaraikan angin dengan kekuatan maksimum 50 batu sejam (85 kilometer sejam) ketika ia bergerak ke arah Florida.

Amaran peningkatan ribut – menunjukkan risiko banjir yang mengancam nyawa daripada paras air yang meningkat – telah dikuatkuasakan di beberapa bahagian di Georgia, Carolina Selatan dan Carolina Utara.

Debby telah dijangka akan membawa “kemungkinan penurunan hujan bersejarah” sehingga lebih 30 inci ketika ia bergerak ke utara, kata NHC.

Namun ia menyatakan Debby mulai lemah selepas melanda sebelum itu dengan kelajuan hingga 80 bsj (130 ksj) sebagai hurikan Kategori Satu – yang paling rendah pada skala lima.

Pemindahan mandatori telah diarahkan di Daerah Citrus, Florida, dengan lapan daerah lain di bawah arahan pemindahan secara sukarela, lapor media tempatan.

Polis di bandar Sarasota berkata kira-kira 500 orang telah dipindahkan dari rumah mereka yang dimasuki air.

Gabenor Georgia dan Carolina Selatan telah mengumumkan perintah darurat sebelum ketibaan ribut.

Sementara itu, Peronda Sempadan AS mengumumkan Debby telah menghanyutkan lebih 25 bungkusan kokain ke pantai di Florida Keys, di mana ia telah dirampas.

Penghantaran yang dirancangkan itu memiliki nilai pasaran lebih AS$1 juta, kata pemangku ketua peronda Ejen Samuel Briggs II di platform X.

Pada Julai, sekurang-kurangnya 18 orang maut ketika Hurikan Beryl yang sangat kuat membadai Carribean sebelum mendarat di negeri selatan AS di Texas dan Louisiana.

Para saintis berkata perubahan iklim kemungkinan memainkan peranan dalam peningkatan mendadak dalam kekuatan ribut seperti Beryl kerana terdapat lebih banyak tenaga di lautan yang lebih hangat untuk ia berkembang. — AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *