Paris 2024: Shah Firdaus Disingkir Biarpun Tamatkan Cabaran Di Tempat Keempat

Muhammad Shah Firdaus terlibat dalam insiden pelanggaran yang menyebabkannya gagal meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024. Foto MOM
PARIS, 11 Ogos – Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom disingkirkan pada final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat, hari ini.
Atlet berusia 28 tahun berasal dari Muar itu yang sedang memecut untuk menuju garisan penamat, dirempuh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh, semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome sebentar tadi.

Meskipun keputusan pada mulanya menunjukkan Muhammad Shah menamatkan saingan pada kedudukan keempat, keputusan itu tiba-tiba berubah kepada disingkirkan (relegated) oleh laman sesawang rasmi temasya tersebut, menjadikan beliau tercampak ke kedudukan keenam.
Pingat emas acara itu milik pelumba Belanda Harry Lavraysen diikuti perak dan gangsa masing-masing milik Matthew Richardson dari Australia dan rakan senegaranya Matthew Glaetzer.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Muhamad Shah gagal menebus kekecewaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang tersingkir di pusingan pertama acara sama.

Malaysia secara rasmi menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
