Paris 2024: Laluan Aaron-Wooi Yik Makin Berliku Di Suku Akhir

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menentang pasangan India di peringkat suku akhir badminton beregu lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 Khamis ini. Foto Majlis Sukan Negara

PARIS, 31 Jul – Undian acara beregu badminton lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 menyaksikan beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mungkin tiada masalah untuk melangkah ke separuh akhir apabila mereka diundi bertemu pasangan kelima terbaik dunia di pentas suku akhir.

Menerusi undian yang dijalankan sebentar tadi menyaksikan Aaron-Wooi yang berada di ranking ketiga dunia akan bertemu wakil India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua di belakang beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang, selepas merekodkan dua kemenangan satu kekalahan.

Pasangan negara itu ketika ini dalam momentum terbaik untuk memperbaiki pencapaian kilauan pingat gangsa yang diperoleh ketika edisi Tokyo 2020 tiga tahun lalu.

Sekiranya berjaya menundukkan Shetty-Rankireddy, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan laluan berliku di separuh akhir apabila dijangka bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indoensia.

Berdasarkan rekod pertemuan peringkat kumpulan, pasangan negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 pada Sabtu sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15.

Namun, mereka agak sukar untuk merobohkan Tembok Besar China apabila tumbang kepada Wei Keng-Wang Chang 22-24, 14-21.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *