Paris 2024: Atlet Mesir Tolak Pakai Bikini

Aksi pemain bola tampar Mesir dan Sepanyol dalam acara bola tampar wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 pada Khamis. Foto Reuters

PARIS, 2 Ogos – Atlet bola tampar wanita pantai Mesir tidak akan tunduk desakan untuk berbikini seperti atlet wanita lain dalam acara itu di Sukan Olimpik Paris.

Ia ditegaskan Marwa Abdelhady dan Doaa Elghobashy yang tampil berbeza ketika turun menentang pasangan Sepanyol, Liliana Fernandez Steiner dan Paula Soria Gutierrez yang berbikini sepanjang perlawanan.

Perbezaan pakaian kedua-dua lawan itu akhirnya menjadi tular di laman sosial selepas atlet Mesir itu mengenakan baju lengan panjang, seluar panjang dan tudung berwarna hitam.

“Saya mahu bermain memakai hijab, dia (pasangan Sepanyol) mahu memakai bikini semuanya okay jika anda mahu berbogel atau memakai hijab. Hanya hormat perbezaan budaya dan agama.

“Saya tidak memberitahu anda untuk memakai hijab dan anda tidak beritahu saya untuk memakai bikini. Tiada siapa boleh beritahu saya bagaimana untuk berpakaian.

“Ia negara bebas, semua orang sepatutnya dibenarkan melakukan apa yang mahu mereka lakukan,” kata Elghobashy kepada wakil media negaranya.

Dalam pertarungan itu, pasangan Mesir terbabit tewas 2-0 kepada pasangan Sepanyol yang mengenakan bikini merah dan topi pelindung matahari.

Terdahulu, tuan rumah temasya Olimpik 2024 iaitu Perancis mengharamkan kontinjen negara itu memakai hijab, dengan Menteri Sukan, Amelie Oudea-Castera, berkata langkah itu dibuat untuk menghormati prinsip sekular.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *