PANAS: Pemecatan Hamzah Bawa Pembubaran Bersatu Larut, Lembah Pantai

Ketua Bersatu Lembah Pantai, Muqharabbin Mokhtarrudin (depan tengah) mengumumkan pembubaran BERSATU bahagian itu berkuat kuasa serta-merta. - Foto Facebook Muqharabbin Mokhtaruddin
KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pemecatan bekas timbalan presiden Bersatu serta beberapa pimpinan kanan parti itu termasuk Noh Omar yang melepaskan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Rais Yatim yang bertindak keluar parti, mula memberi kesan kepada parti itu di seluruh negara.
Selepas beberapa pemimpin kanan parti tersingkir secara en bloc (kelompok), pimpinan Bersatu Bahagian Lembah Pantai dan Larut mengumumkan pembubaran kedua-dua bahagian itu serta-merta.
Menerusi rakaman disiarkan di Facebook rasmi Bersatu, kepemimpinan Bersatu Larut dan Lembah Pantai menegaskan tindakan itu dibuat kerana mereka hilang kepercayaan terhadap Presiden, Muhyiddin Yassin.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Larut, Mohd Noh Md Daud, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas menerima mandat penuh daripada kepemimpinan pelbagai peringkat di bahagian terbabit.
Jelasnya, sebanyak 48 cawangan di bawah Bersatu Bahagian Larut mengisytiharkan pembubaran bahagian itu kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan parti diterajui Muhyiddin.
“Ini diperkuatkan lagi dengan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Bersatu Larut, Mohd Hassundi Hamzah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Larut, Mohd Azurin Abdul Wahab, memaklumkan seluruh kepemimpinan bersama semua ahli jawatankuasa bahagian itu meninggalkan parti itu.
“Keputusan ini diambil selepas melihat pergolakan dalaman disebabkan Bersatu sudah hilang arah tuju dan kemuncaknya ialah pemecatan Hamzah dan Mohd Hassundi. Saya bersama jawatankuasa dan ketua cawangan hilang kepercayaan kepada Muhyiddin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bersatu Lembah Pantai, Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata ketetapan berkenaan dibuat tanpa sebarang paksaan dengan surat pemakluman berhubung perkara itu akan diutus ke Ibu Pejabat Bersatu.

“Kami berterima kasih kepada Bersatu atas peluang diberikan dan insya-Allah akan terus menyumbang kepada rakyat setempat dengan cara tersendiri, melalui NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan sebagainya.
“Semoga terus maju jaya dan kami memohon maaf, insya-Allah kita berjumpa lagi di lapangan berlainan,” katanya sambil diiringi kepemimpinan pelbagai peringkat Bersatu Lembah Pantai.
Dalam kenyataannya, Muqharabbin berkata, bahagian itu sebulat suara bersetuju untuk pembubaran berkuat kuasa serta-merta hasil keputusan pada mesyuarat dipengerusikannya bersama barisan pimpinan bahagian.

“Dalam mesyuarat tersebut, saya telah memberikan ruang sepenuhnya kepada semua pihak untuk menyuarakan pandangan,” tambahnya.
Katanya, majoriti pemimpin bahagian telah menghadiri Program Reset anjuran Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee sebagai solidariti dan deklarasi bersama Hamzah, yang memperlihatkan sokongan luar biasa kepimpinan dan akar umbi parti di seluruh negara.
“Saya telah membuat pertimbangan yang menyeluruh, berlandaskan akal dan tanggungjawab perjuangan,” katanya.

Kelmarin, Bersatu memecat 17 ahlinya, termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
ADUN dipecat pula dari Sungai Manik yang juga Ahli MPT, Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Setiausaha Bersatu Sabah merangkap Ketua Bersatu Libaran, Yunus Nurdin.

Pemimpin akar umbi dipecat ialah Ketua Bersatu Teluk Intan, Kamaruddin Majid; Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi (Larut); Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun).
Turut dikenakan tindakan sama, Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Keahlian mereka dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, namun berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
