Pakatan Harapan Sabah Hargai Komitmen PM Anwar Terhadap Pelaksanaan MA63

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah menghargai komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pembentukan Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

KOTA KINABALU, 11 Ogos – Pakatan Harapan (PH) Sabah menghargai komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pembentukan Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad, PH Sabah mengambil maklum berhubung pelbagai maklumbalas orang ramai terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan telah memberikan lebih daripada 40%, iaitu sebanyak RM16 bilion dalam peruntukan keseluruhan bagi tahun 2024 untuk Sabah.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah bergambar bersama Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada mesyuarat bersama tahun ini.

“Menghargai apa yang telah dikatakan dan niat ucapan Perdana Menteri mengenai hal ini adalah sesuatu yang harus diterima dengan hati dan fikiran yang terbuka sebagai pendedahan tentang perhatian istimewa dan komitmen kewangan yang diberikan kepada Sabah oleh kerajaan persekutuan dalam memahami dan mengakui keperluan di Sabah.

“Apabila kita bercakap tentang MA63 dan hak-hak yang termaktub di dalamnya, ramai yang nampaknya mengabaikan fakta bahawa hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 melibatkan banyak lagi perkara lain dalam rangka kerja tersebut.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan ini telah bersetuju dan menyelesaikan beberapa perkara ini di bawah Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63),” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi MPN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Mustapha Sakmud, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu.

Menurut kenyataan itu lagi selepas 61 tahun pembentukan Malaysia, ini adalah kali pertama beberapa tuntutan di bawah MA63 telah dapat diselesaikan.

Perkara seperti pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang telah mengembalikan kedudukan asal Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan ketika Malaysia dibentuk. Pindaan kepada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang akhirnya memberikan pengiktirafan dan nyawa perundangan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew bersama-sama ketua parti komponen PH Sabah turut mengucapkan selamat hari lahir kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke-77 menerusi kenyataan bersama pada Ahad. Foto Arkib

“Ini adalah perkembangan yang positif dan penting yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membetulkan keadaan dengan mengiktiraf peranan Sabah dan Sarawak serta kedudukan istimewa dalam pembentukan Malaysia.

“Melalui penubuhan MTPMA63 oleh kerajaan persekutuan, kita telah melihat beberapa tuntutan penting diberikan dan dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak. Perkara seperti penyerahan kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah serta pemberian kuasa ke atas perlesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Antara yang telah diselesaikan sepenuhnya ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); dan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 untuk melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ahli tetap lembaga.

Tambah kenyataan itu, penyerahan kuasa untuk mengawal selia bekalan gas di Sabah; pentadbiran kehakiman di Sabah dan Sarawak; penyediaan garis panduan untuk pemindahan semula tanah yang dikhaskan untuk Persekutuan di negeri Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa pengawalseliaan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah juga telah diselesaikan.

“Ini hanyalah beberapa perkara yang telah dipersetujui dan masih banyak lagi perkara lain yang sedang dikenal pasti dan dibincangkan.

“Kita harus mengakui bahawa perbincangan dan rundingan ini adalah rumit dan pada masa yang sama melibatkan perkara perundangan yang kompleks yang memerlukan kajian dan pertimbangan terperinci.

Ucapan selamat hari lahir ke-77 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu. Foto Facebook PKR Sabah

“Namun, apa yang meyakinkan adalah kita mempunyai Perdana Menteri yang telah bersetuju dan membenarkan perkara ini dibincangkan, dikaji dan mencari jalan untuk diselesaikan,” kata kenyataan itu.

“Tidak pernah dalam sejarah negara kita, kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang telus, menghormati perjanjian sejarah, dan ikhlas untuk memberikan pemberdayaan kewangan yang sebenar kepada Sabah dan Sarawak. Beberapa tahun yang lalu, perkara ini adalah “pantang” untuk disebut dan dibincangkan secara terbuka.

“Dengan perkembangan positif ini, kita bukan sahaja berharap tetapi kita juga yakin bahawa melalui keikhlasan, komitmen dan kepimpinan Perdana Menteri kita akan memastikan bahawa pada akhirnya, apa yang termaktub dalam perlembagaan sebagai hak Sabah dan Sarawak pasti akan dihormati dan dilunaskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut kira-kira 15,000 orang yang hadir mendengar pidato rakyat pada Konvensyen KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Mereka mewakili PH negeri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Perdana Menteri dan memberi jaminan bahawa PH Sabah dan rakyat Sabah sentiasa menyokong kepimpinannya dalam membina negara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *