Orang Ramai Sudah Pasang Khemah ‘Berkampung’ Di Dataran Putrajaya Seawal 8 Malam Tadi

Tangkap layar klip video yang memaparkan suasana terkini keadaan sekitar Dataran Putrajaya malam tadi.
PUTRAJAYA, 31 Ogos – Biarpun sambutan rasmi dan perarakan kontinjen yang mengambil bahagian sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 hanya akan bermula jam 7 pagi, namun orang ramai sudah mula berkampung di Putrajaya seawal pukul 8 malam tadi.
Cerapan yang dilihat menerusi beberapa klip video yang dikongsi di laman media sosial, kelihatan orang ramai sudah memasang khemah yang dibawa sendiri dan menghampar tikar di sepanjang laluan perarakan pagi nanti.
Malah, ada yang turut membawa ahli keluarga ‘berkampung’ di kawasan berkenaan bagi mendapatkan ‘view’ yang jelas untuk menyaksikan perarakan esok.

Difahamkan, selain menyaksikan perarakan esok, orang ramai juga sedang menunggu kemungkinan ada pertunjukkan bunga api di sekitar Dataran Putrajaya tengah malam ini.
“Rakyat Malaysia sudah mula berkampung di Dataran Putrajaya untuk menanti sambutan hari kemerdekaan,” tulis Malaysia Networks di laman Facebooknya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mendakwa orang ramai mula berkumpul di sekitar kawasan Dataran Putrajaya seawal pukul 6 petang lagi.
“Pukul enam petang tadi pun dah ada yang ‘cop’ tempat dan pasang khemah di situ untuk mendapatkan ‘view’ menarik esok,” kata Hafiz Shah.
Turut meninggalkan komen adalah seorang pengguna dikenali sebagai Nor Fadilah Abd Manap.

“Meriahnya, seronok tengok. Semoga dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.
Antara tarikan utama yang akan disaksikan ratusan ribu rakyat pagi nanti adalah pertunjukan pentas nyanyian lagu-lagu patriotik dan persembahan kebudayaan seluruh etnik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
