Op Nature: SPRM Beku 16 Akaun RM10.2 Juta Terkait Kes Rasuah E-Waste

Menurut sumber, seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM di sini telah disambung reman sehingga 30 Januari ini. Foto hiasan
PUTRAJAYA, 26 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan sebanyak 16 akaun bank bernilai kira-kira RM10.2 juta susulan siasatan kes rasuah dalam pemprosesan sisa buangan elektronik (e-waste), pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual di Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurut sumber, seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM di sini telah disambung reman sehingga 30 Januari ini.
Katanya, SPRM Negeri Sembilan turut menahan reman empat individu, termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan dari 20 sehingga 26 Januari.
“Sejumlah RM87,000 wang tunai dan barangan kes bernilai kira-kira RM220,000 juga telah disita termasuk kereta dan barang kemas.
“Tangkapan dan reman melibatkan pengarah syarikat dan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang disyaki melindungi kilang-kilang memproses e-waste dan juga pembuangan barangan berjadual tanpa melalui proses yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Azam berkata, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan lanjut selepas ini memandangkan sindiket ini telah melakukan operasi berkenaan bertahun-tahun lamanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



