Naib Presiden Suruhanjaya EU, Henna Virkkunen, berkata deepfake seksual tanpa kebenaran yang membabitkan wanita dan kanak-kanak adalah satu bentuk penghinaan dan tidak boleh diterima, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

BRUSSELS, 27 Jan – Suruhanjaya Eropah membuka siasatan terhadap syarikat teknologi Amerika Syarikat, X berhubung chatbot kecerdasan buatan (AI) miliknya, Grok, selepas ia menghasilkan imej wanita dan kanak-kanak yang berunsur seksual.

Naib Presiden Suruhanjaya EU, Henna Virkkunen, berkata deepfake seksual tanpa kebenaran yang membabitkan wanita dan kanak-kanak adalah satu bentuk penghinaan dan tidak boleh diterima, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Beliau berkata, siasatan berkenaan bertujuan meneliti sama ada aplikasi X mematuhi obligasinya di bawah undang-undang Kesatuan Eropah, termasuk kewajipan untuk menilai dan mengurangkan risiko sistemik secara tekun.

“Ini termasuk risiko yang berkaitan dengan penyebaran kandungan haram di EU, seperti imej eksplisit seksual yang dimanipulasi, termasuk kandungan yang boleh dianggap sebagai bahan penderaan seksual kanak-kanak,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, risiko itu nampaknya sudah berlaku, sekali gus mendedahkan warga EU kepada bahaya yang serius.

Platform media sosial milik Elon Musk itu menerima kecaman hebat sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas Grok membenarkan pengguna menggantikan pakaian wanita dengan bikini secara digital dan, dalam beberapa kes, menghasilkan gambaran berunsur seksual yang membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Susulan kemarahan antarabangsa yang berlarutan, X telah memperkenalkan beberapa sekatan pada pertengahan bulan ini. – BERNAMA-dpa


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *