Nurul Izzah, Saifuddin Gandingan Mantap Diyakini Mampu Merangkul Kegemilangan KEADILAN

Pelantikan Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama menunjukkan KEADILAN boleh merangkul pihak yang menang mahupun yang tewas dalam Pemilihan KEADILAN 2025.
MINDA NORAINI NORDIN, 24 Jun – Tak hidup dek puji tak hina dek keji.
Dua figura hebat Hajjah Nurul Izzah Anwar dan Datok Seri Saifuddin Nasution Ismail yang telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama adalah gandingan paling tepat dan diyakini membawa KEADILAN terus gemilang.
Tidak perlu mendabik dada ke sana ke sini, kedua tokoh ini hakikatnya telah pun mara merangka strategi, menyusun organisasi dan memperkasakan latihan untuk memantapkan lagi kekuatan anggota daripada akar umbi hingga pimpinan cabang di seluruh negara.
Sudah pasti kritikan yang dilemparkan itu tidak menjadi ‘kudis’ kepada mereka malahan dijadikan cabaran untuk keduanya bekerja lebih gigih mengerakkan parti khasnya menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
PASUKAN YANG HEBAT

Sebagai anggota KEADILAN khasnya janganlah sebarangan memperlekehkan Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama.
Kedua tokoh ini sebenarnya adalah pilihan yang tepat dan wajar. Gandingan yang diyakini untuk KEADILAN menawan DUN dan Parlimen dalam siri-siri PRN dan PRU akan datang.
Berilah peluang kepada mereka menjalankan amanah yang sedang dipikul.
Jika kita sayangkan parti marilah bersama-sama membantu Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution untuk mencipta kejayaan gemilang dalam PRN dan PRU kelak.
Mari bersama-sama mengambil peranan menjadi pasukan yang gigih, kental dan hebat bagi mencipta kejayaan demi kejayaan untuk KEADILAN.
PEMIMPIN YANG SARAT DENGAN PENGALAMAN
Perlu diingat kedua-dua mereka adalah pemimpin yang sarat dengan pengalaman bersama parti sejak awal lagi dan tentunya tahu dan melakukan yang terbaik untuk mencapai kemenangan.

Kedua-duanya juga adalah gandingan yang sentiasa boleh bekerjasama dan hakikat itu tentunya suatu kelebihan dalam menghasilkan gerak kerja yang lebih mantap.
Kritikan bahawa kedua-duanya merupakan pemimpin yang kalah bertanding pada PRU15 lepas bukanlan hujah yang boleh dijadikan sandaran kukuh bahawa mereka tidak mampu mencipta kemenangan buat KEADILAN pada PRU16 akan datang.
Orang yang pernah kalah atau gagal pada masa lalu tidak bererti tidak mampu mencipta kejayaan selepas itu.
Orang yang menang pada masa lalu pula bukanlah jaminan bahawa mereka sentiasa akan menang.
Dalam konteks Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution, memang benar mereka kalah pada PRU15 lalu, tetapi boleh jadi kekalahan itu menjadi dorongan atau pembakar semangat untuk mereka mencipta kejayaan di masa depan.
Lantaran itu, keyakinan dan kepercayaan hendaklah diberikan kepada mereka melalui jawatan yang diberikan itu.
Berkaitan Nurul Izzah, di sebalik paling banyak dipertikaikan atas pelantikan tersebut, tidak harus dilupakan rekod kejayaannya pernah mengalahkan dua orang menteri di Parlimen Lembah Pantai sebelum ini.
Dua menteri berkenaan ialah Tan Seri Shahrizat Jalil dan Datok Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Bukankah rekod kejayaan itu sesuatu yang boleh mendorong kepada penciptaan kejayaan lain selepas ini?
Yang penting berkaitan Nurul Izzah dan Saifuddin ialah mereka merupakan sosok yang setia kepada perjuangan, sedia menerima cabaran. tidak pernah gentar dengan kritikan dan sentiasa bersemangat untuk melakukan yang terbaik.
Semua itu adalah resipi kepada kejayaan dan kejayaan masa depan bukan ditentukan oleh rekod tidak pernah kalah atau bukan bergelar Ahli Parlimen.
Oleh Noraini Nordin
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

