Notis Merah Riza Chalid: KDN Belum Terima Laporan Interpol – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika Mesyuarat Pre-Council KDN di Putrajaya pada 3 Februari 2026. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
PUTRAJAYA, 3 Feb – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan belum menerima apa-apa makluman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai notis merah Interpol (polis antarabangsa) terhadap tokoh minyak Indonesia dalam buruan, Mohammad Riza Chalid, 66.
Ia susulan laporan badan penguatkuasa antarabangsa itu yang difahamkan telah mengeluarkan notis berkenaan kepada usahawan seberang itu bagi membantu siasatan pihak berkuasa Indonesia berkenaan kes rasuah membabitkan ratusan juta dolar Amerika Syarikat.
Menurutnya, beliau juga akan mendapatkan segera kesahihan maklumat itu dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

“Saya kena periksa dengan IGP (Ketua Polis Negara) dulu. Saya belum dapat lagi maklumat itu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat kepada warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sini hari ini.
Beliau menambah, sebarang maklumat perkembangan notis berkenaan alam dimaklumkan apabila sampai ke peringkat seterusnya termasuk tindakan daripada PDRM.
Media sebelum ini melaporkan, Interpol telah mengeluarkan notis merah terhadap Mohammad Riza Chalid, pada 23 Januari lalu kerana didakwa terlibat dalam skandal rasuah berskala besar bernilai AS$285 juta (RM1.12 bilion) membabitkan syarikat minyak negara, Pertamina, bagi tempoh 2018 hingga 2023.

Setiausaha Biro Pusat Nasional Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko, berkata pihaknya bekerjasama dengan 196 negara anggota Interpol bagi mengesan kedudukan Mohammad Riza.
Notis itu dihantar kepada 196 negara anggota Interpol bagi mendapatkan bantuan penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk mengesan dan menahan sementara Riza Chalid.
Pada Julai lalu, Riza, anak lelakinya Muhammad Kerry Adrianto Riza, serta beberapa pegawai kanan Pertamina dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah berkenaan.

Mereka dituduh bekerjasama mengimport minyak mentah daripada pembekal luar negara pada harga lebih tinggi, sedangkan undang-undang Indonesia mewajibkan bekalan itu diperoleh dari dalam negara, menurut Pejabat Peguam Negara.
Pejabat Imigresen Indonesia berkata, pasport Indonesia milik Riza dibatalkan pada Oktober lalu.
Indonesia sejak sekian lama berdepan masalah rasuah dan menahan ramai pegawai awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2023, seorang bekas menteri komunikasi dipenjarakan selama 15 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah dalam kes yang menurut penyiasat menyebabkan kerugian negara lebih AS$530 juta (RM2 bilion).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
