KDN Kaji Keperluan Pinda Undang-Undang Curi Kabel – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Majlis Libat Urus dan Amanat Menteri Dalam Negeri bersama warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) pada 3 Februari 2026.

PUTRAJAYA, 3 Feb – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat terdapat keperluan mendesak untuk meminda akta berkaitan hukuman kes curi kabel yang dilihat tidak setimpal dengan kerugian yang ditanggung pengendali pengangkutan rel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam masa yang sama, syarikat operator pengendali rel juga perlu bersedia meningkatkan aspek keselamatan.

“Ada keperluan mendesak untuk kita pinda balik akta yang berkenaan bagi mewujudkan satu, orang kata, langkah pencegahan kepada insiden (curi kabel).

“Kita juga bersetuju bahawa operator kereta api sendiri pun mesti bersedia untuk membuat pelaburan yang tinggi bagi tujuan melindungi keselamatan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Libat Urus dan Aamanat 2026, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Setia Perkasa 3 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke termasuk operator termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi membincangkan isu berkenaan.

Saifuddin berkata, difahamkan, kabel yang dicuri kemudian dijual kembali di kedai besi buruk dengan kadar lebih RM30 sekilogram.

Hukuman ringan ke atas pencuri kabel yang disabitkan kesalahan dipercayai menjadi punca mereka tidak serik mengulangi jenayah berkenaan, meskipun syarikat pengangkutan awam rel rugi besar.

Manakala orang ramai berdepan kesulitan gangguan perkhidmatan.

Ia kerana hukuman penjara yang dikenakan adalah singkat manakala denda pula rendah berbanding kadar ‘keuntungan lumayan’ daripada penjualan komponen kabel yang dicuri oleh individu terbabit.

Sehubungan itu, wujud pandangan supaya hukuman berkenaan ditingkatkan.

Denda hukuman berkenaan dilaporkan antara RM1,000 atau RM2,000 dan mungkin seminggu atau dua minggu hingga sebulan penjara sahaja.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *