Noh Omar Letak Jawatan Ahli MPT Bersatu

Noh Omar mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MPT Bersatu berkuat kuasa serta-merta pada 14 Februari 2026.

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Bekas ahli parlimen Tanjong Karang, Noh Omar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau memberi alasan kekecewaan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kegagalan parti itu mematuhi proses perlembagaannya sendiri.

Noh berkata keputusannya dibuat selepas MPT parti dalam mesyuarat pada 12 Januari lalu memutuskan untuk menangguhkan semua tindakan disiplin, namun lembaga disiplin parti didakwa masih meneruskan tindakan terhadap ahli.

“Pada peringkat ini, saya ingin menyatakan rasa kecewa dengan apa yang berlaku dalam Bersatu hari ini,” katanya.

Noh mempersoalkan tindakan disiplin yang masih diteruskan walaupun MPT telah membuat keputusan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada lembaga disiplin menghormati autoriti badan pembuat keputusan tertinggi parti.

“MPT telah memutuskan supaya semua tindakan disiplin ditangguhkan. Persoalannya, mengapa lembaga disiplin masih meneruskan tindakan? Adakah lembaga disiplin tidak menghormati keputusan MPT,” katanya.

Tangkap layar keputusan Noh Omar meletak jawatan sebagai ahli MPT Bersatu pada 14 Februari 2026.

Noh juga mempersoalkan tindakan disiplin yang diambil terhadap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, yang menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan keadilan dalam parti.

Katanya, beliau secara peribadi menasihati Saifuddin supaya tidak meneruskan program jelajah yang dirancang di Pahang, dan Saifuddin bersetuju serta membatalkan program itu.

“Saya faham niat beliau, tetapi saya menasihatinya supaya tidak meneruskan jelajah itu. Beliau menghormati nasihat itu dan membatalkan program.

“Malangnya, (Datuk Seri) Saifuddin telah dipecat. Pada ketika itu, kami masih belum benar-benar jelas mengenai hala tuju berkaitan tindakan disiplin,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *