NCER Rekod Pelaburan Realisasi RM78.95 Bilion Pada 2025 – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER) ke-35 di Putrajaya pada 23 Februari 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 22 Feb – Tahun 2025 terus menyaksikan prestasi cemerlang buat negara apabila Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi sebanyak RM78.95 bilion dan mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan pada 2025, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, pencapaian tersebut dilaporkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER) ke-35 yang dipengerusikan beliau hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Ekonomi, Akmal Nasir dan kesemua empat menteri besar dan ketua menteri wilayah utara merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, NCER pada tahun lepas telah berjaya melahirkan 4,000 orang bakat tempatan yang menepati keperluan pelabur dan industri menerusi program di bawah kendalian Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).

“Mesyuarat kali ini telah membincangkan perancangan 2026 dan tahun mendatang dengan fokus memantapkan peranan dalam mempercepatkan realisasi pelaburan berkualiti tinggi di wilayah utara, ini termasuk beberapa pelaburan berpotensi terkait Kedah Rubber City (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis.

“Turut diteliti adalah inisiatif meluaskan impak pembangunan ekosistem pelaburan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan kajian meningkatkan semula daya saing pelancongan di Pulau Langkawi,” ujar Anwar.
Glosari:
NCER – North Corridor Economic Region
NTIC – NCER Technology Innovation Centre
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
