Nahas Bas UPSI: Pemandu Bas Akan Didakwa Dengan 16 Pertuduhan Esok

Pemandu bas ditahan sejurus keluar dari Hospital Taiping bagi membantu siasatan nahas yang mengorbankan 15 mahasiswa UPSI di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.

IPOH, 12 Jun – Seorang pemandu bas berusia 39 tahun yang terlibat dalam nahas yang meragut nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Isnin lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki itu dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Gerik selepas solat Jumaat.

“Pemandu bas itu akan didakwa sebanyak 15 pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Esok lepas (solat) Jumaat akan didakwa di Mahkamah Majistret Gerik,” katanya ketika dihubungi media.

Penahanan pemandu bas itu dibuat sejurus dibenarkan keluar dari Hospital Taiping setelah menerima rawatan sejak Isnin lalu.

Pendakwaan akan dijalankan menurut Seksyen 41(1) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kertas siasatan kes telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara bagi arahan seterusnya.

Siasatan di pihak polis telah pun lengkap dan difahamkan ada di kalangan waris mangsa menunggu maklumat lanjut.

Dalam kejadian jam 1 pagi Isnin lalu, 15 mahasiswa dalam perjalanan dari Besut, Terengganu maut manakala 29 lain cedera selain empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza turut terbabit dalam nahas tragis itu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *