Muhyiddin Kena Bersedia Hadapi Tindakan Undang-Undang Pertikai Wibawa Agong – Abul Jais

Abul Jais menasihatkan Muhyiddin memohon keampunan segera daripada Sultan Pahang kerana ucapannya jelas mempertikai kewibawaan Baginda semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16. Foto Facebook Abul Jais
IPOH, 20 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada pilihan lain kecuali berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana perbuatannya jelas menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan institusi dan nama baik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah melantik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil kesal dengan tindakan berdolak-dalik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, pemimpin KEADILAN Perak Abul Jais Ashfaq Ahmed menasihatkan Muhyiddin menyatakan permohonan maaf secara rasmi tanpa syarat kerana perkara jelik itu sudah pun berlaku.
Beliau juga mesti menyatakan kekesalan sedalam-dalamnya bagi menghapuskan kesangsian serta keraguan yang telah dicetuskannya sendiri semasa kempen PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

“Kenyataan yang dibuat Muhyiddin ketika berkempen sewaktu PRK DUN Nenggiri jelas mencetuskan persepsi negatif, menimbulkan naratif jahat dan kesangsian terhadap kebolehan dan keupayaan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara yang kuasanya telah diperuntukkan mengikut Perkara 40(2) dan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak sewajarnya kenyataan yang dibuat Tan Sri Muhyiddin berkenaan peranan dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dalam melantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 setelah keputusan itu dibuat bersama Majlis Raja-Raja dan sepatutnya ia tidak boleh dipertikaikan lagi.
“Selaku pemimpin KEADILAN, saya menjunjung kasih atas titah tegas Tengku Mahkota Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah), agar pihak Polis Diraja Malaysia dapat mengambil tindakan tegas terhadap keterlanjuran yang telah dilakukan,” katanya.
Tambah Ketua Cabang KEADILAN Beruas itu, dengan puluhan laporan polis meminta siasatan dijalankan atas persepsi jahat berkenaan, sudah semestinya ia menjadi keutamaan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya tanpa prejudis kerana ia menimbulkan kegusaran awam.
Muhyiddin sebelum ini didakwa mengeluarkan ucapan yang mempertikai tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 malah laporan polis dibuat sendiri Istana Pahang bagi membolehkan pihak berkuasa bertindak tegas ke atas Presiden Bersatu itu.
Sebelum ini Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan baginda dengan kenyataan Muhyiddin dan bertitah mahu polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh tersebut.
Ucapan Muhyiddin juga menyebabkan polis membuka kertas siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan difahamkan beliau akan dirakam percakapan esok.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

