Muhammad Yunus Jamin Lindungi Hak Semua Rakyat Bangladesh – PM Anwar

Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus memberi jaminan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Perdana Menteri gembira dengan jaminan diberikan Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau membuat panggilan telefon kepada Muhammad malam tadi, bagi mengucapkan tahniah dan bertanyakan khabar susulan pelantikan beliau sebagai Ketua Penasihat kepada Kerajaan Interim Bangladesh, baru-baru ini.
Katanya, Muhammad mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia.
“Justeru, saya memberi jaminan kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara itu.
“Prof Yunus (Muhammad) turut menjemput saya untuk melakukan lawatan pendek ke Bangladesh dalam masa yang terdekat bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Minggu lalu, Muhammad, 84, yang juga pemenang Hadiah Nobel, mengangkat sumpah jawatan untuk mengetuai kerajaan peralihan terdiri daripada 17 anggota di Bangladesh.
Ia berlaku selepas protes berminggu-minggu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Liga Awami pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Majlis angkat sumpah Muhammad dan pasukannya berlangsung di pejabat Presiden Mohammed Shahabuddin di ibu negara Dhaka.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
