Lelaki Tanpa Tiket Penerbangan Dua Kali Berjaya Menyusup Ke Dalam Pesawat

Lelaki Norway yang menyelinap dua kali ke dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt tanpa tiket akhirnya berjaya ditahan. Foto AFP

FRANKFURT, 14 Ogos – Seorang pengembara Norway menaiki pesawat di lapangan terbang Munich, Jerman, tanpa tiket sebanyak dua hari berturut-turut, malah terbang ke Sweden pada insiden kali kedua, kata polis pada 13 Ogos.

Lelaki berusia 39 tahun terbabit menyelinap melepasi kawalan keselamatan di lapangan terbang kedua paling sibuk di Jerman itu, kali pertama pada 4 Ogos lalu.

Penumpang sepatutnya mengimbas pas masuk di pintu masuk automatik, namun dia berdiri berdekatan dengan pengembara lain dan melaluinya tanpa pas, lapor harian Bild.

Dia kemudian menyelinap melepasi kakitangan syarikat penerbangan di pintu masuk dan menaiki pesawat.

Bagaimanapun, penerbangan itu ditempah penuh, dan penipuannya terbongkar kerana dia tidak mempunyai tempat duduk.

Lelaki itu diserahkan kepada polis dan didakwa sebelum dilepaskan, kata akhbar itu.

Jurucakap polis, Sebastian Pinta berkata, warga Norway itu tidak serik dan kembali sehari kemudian.

Dia menggunakan teknik sama dengan menaiki penerbangan ke Sweden yang tempat duduknya tidak ditempah penuh.

Bagaimanapun, setibanya di Stockholm, dia menarik perhatian kakitangan lapangan terbang kerana ingin segera pulang ke Munich, dan diserahkan kepada polis.

Pinta menegaskan lelaki itu tidak menimbulkan sebarang bahaya.

Lelaki itu kemudian disiasat kerana penipuan kemasukan dan pengangkutan yang menyalahi undang-undang.

Lapangan terbang Munich memaklumkan sedang menyiasat bagaimana lelaki itu boleh melepasi pemeriksaan keselamatan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *