MTEN Tetapkan Hala Tuju Kendali Krisis Tenaga, Jamin Bekalan Asas – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya pada 14 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 14 Apr – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menetapkan hala tuju yang jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang kian meruncing dan dijangka berpanjangan, dengan memberi penekanan kepada pendekatan utama bagi menjamin bekalan tenaga serta barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha mengurus krisis tenaga ini digerakkan melalui peranan penting Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam bulan-bulan mendatang.

“Dalam masa sama, tindakan menampan kenaikan kos diperkukuh melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial X, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya pada 14 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri menegaskan, keutamaan kerajaan adalah melindungi kesejahteraan rakyat, di samping kekal berdisiplin dan realistik dalam setiap langkah yang diambil.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pengurusan permintaan turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga, termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula esok.

Pada masa sama, Ops Tiris dipergiatkan untuk membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya pada 14 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Bagi jangka sederhana dan panjang, usaha dipercepat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu,” katanya.

Anwar berkata, biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.

“Pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya.

“Dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah ini bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya. – Bernama

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *