MRT ‘Meragam’ Lagi, 18 Pelajar Singapura Lambat Duduki Peperiksaan

LTA mengakui lebih banyak perkhidmatan MRT terganggu disebabkan kerosakan teknikal kepada sistem isyarat landasan di mana-mana lokasi di Singapura. Foto The Straits Times

SINGAPURA, 18 Sep – Gara-gara ‘gangguan’ tren MRT selama dua jam bagi perkhidmatan Thomson-East Coast Line (TEL), seramai 18 pelajar dilaporkan lewat hadir ke peperiksaan Sijil Am Pendidikan Peringkat Normal (Akademik) ‘GCE N(A)-level’ bagi mata pelajaran kemanusiaan semalam.

Memetik laporan The Straits Times, jurucakap Badan Penilaian dan Peperiksaan (SEAB) republik berkenaan berkata, kesemua pelajar terbabit bagaimanapun tidak dikenakan sebarang penalti.

“Mereka tiba sebelum peperiksaan tamat dan diberi masa untuk bertenang sebelum menduduki kertas tersebut. Semua pelajar berkenaan diberikan tempoh penuh untuk peperiksaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih banyak perkhidmatan MRT terganggu disebabkan kerosakan teknikal kepada sistem isyarat landasan di mana-mana lokasi di Singapura. Foto The Straits Times

Terdahulu kira-kira jam 7.30 pagi semalam, perkhidmatan tren di 27 stesen laluan TEL tergendala akibat kerosakan sistem isyarat.

SMRT dalam hantaran di Facebook memaklumkan kejadian disebabkan kerosakan isyarat antara stesen Woodlands North hingga Bayshore.

Ia adalah kejadian kelima berturut-turut sepanjang bulan ini melibatkan rangkaian MRT.

Sehari sebelumnya, enam stesen di laluan East-West Line tergendala akibat kerosakan bekalan kuasa yang membawa kepada kegagalan sistem isyarat.

Penumpang LRT antara Sengkang-Punggol berjalan kaki di atas landasan menuju stesen berhampiran pada 11 Julai 2025. Foto The Straits Times

Pada 14 September, kerosakan tren di North-South Line menyebabkan gangguan selama 40 minit, manakala pada 2 September, perkhidmatan antara stesen Woodlands hingga Yishun tergendala.

Sementara itu, pada 1 September, perkhidmatan di tiga stesen antara Marina Bay dan Promenade di laluan Circle Line turut tergendala akibat kerosakan pada tren.

Selain laluan TEL, SMRT juga mengendalikan laluan North-South Line, East-West Line, Circle Line serta perkhidmatan Bukit Panjang LRT.

Menurut angka terkini Land Transport Authority (LTA), tahap kebolehpercayaan kepada rangkaian MRT dalam tempoh 12 bulan sehingga Jun 2025 adalah yang terendah sejak 2020.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *