Motosikal Gagal Memotong, Dua Beranak Maut Kemalangan Dengan Kereta

Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung dengan kereta terbabit di Batu 23, Jalan Labuk pada 21 Mac 2026.
SANDAKAN, 22 Mac – Seorang ibu dan anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Batu 23, Jalan Labuk, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala ibunya, 28, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent.
Difahamkan, ketika kejadian, motosikal dinaiki tiga sekeluarga itu dalam perjalanan menuju ke arah Beluran.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai cuba memotong kenderaan lain dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.
“Akibat perlanggaran itu, kanak-kanak yang membonceng motosikal maut di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang turut cedera dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
George turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Oleh Hamzah Sanudin
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


