Kabel Elektrik Putus, Tiga Gerai Jual Barangan Keagamaan Musnah

Kebakaran membabitkan tiga unit gerai berkeluasan kira-kira 20 kaki persegi (1.85 meter persegi) setiap satu dengan anggaran kemusnahan sebanyak 85 peratus.
BUKIT MERTAJAM, 22 Mac – Tiga buah gerai menjual barangan upacara keagamaan musnah dalam kebakaran di Taman Sejahtera, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi tadi.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan tiga unit gerai berkeluasan kira-kira 20 kaki persegi (1.85 meter persegi) setiap satu dengan anggaran kemusnahan sebanyak 85 peratus.
“Maklumat awal daripada penghuni menunjukkan kebakaran mungkin berpunca daripada kabel elektrik yang terputus,” katanya dalam kenyataan.
John berkata, sebuah kereta Toyota Prius yang diletakkan berhampiran turut mengalami kerosakan kira-kira lima peratus di bahagian tepi akibat bahang kebakaran berkenaan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.46 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 3 pagi, manakala kerja-kerja pemantauan (overhaul) selesai dilakukan sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.20 pagi.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam terbabit dalam operasi berkenaan dengan bantuan beberapa pasukan bomba sukarela.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kes diserahkan kepada Unit Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

