Monyet ‘Robin Hood’ Baling Duit Dari Atas Pokok

Seekor monyet menggemparkan penduduk apabila melempar duit dari atas pokok seolah menjadi ‘Robin Hood’.
NEW DELHI, 30 Ogos – Seekor monyet merampas sebuah beg berisi wang tunai, memanjat pokok dan mula melambungkan wang kertas ke ruang udara, mencetuskan insiden pelik di daerah Auraiya, Uttar Pradesh yang mengejutkan penduduk, lapor portal berita The Indian Express kelmarin.
Kejadian yang dirakam dalam video dan tular di media sosial itu menunjukkan beberapa wang kertas 500 rupee (RM24) berterbangan turun ke jalan raya manakala orang ramai berebut untuk mengutipnya.
Menurut laporan tempatan, beg tersebut milik seorang guru sekolah, Rohitash Chandra, yang baru sahaja mengeluarkan 80,000 rupee (RM3,828) dari bank pada hari itu dan meletakkan wang tersebut di ruang simpanan motosikalnya.
Sebelum dia sempat beredar, seekor monyet melompat ke atas motosikal, merampas beg tersebut dan memanjat ke atas pokok.
Ketika haiwan itu melambung ikatan wang dari atas, orang ramai bergegas mengutip wang yang bertebaran.
Dengan bantuan mereka, Chandra berjaya mendapatkan kembali sekitar 52,000 rupee (RM2,488) tetapi hampir 28,000 rupee (RM1,340) wangnya hilang.
Video itu menjadi tular di Instagram dan mencetuskan reaksi bercampur antara lucu dan simpati dalam talian.
Seorang netizen menulis: “Robin Hood sedang beraksi.”
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

