Meta Gagal Banteras Aktiviti Jenayah Dalam Talian – Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan kebimbangan serius terhadap kegagalan Meta mengendalikan aduan menurunkan kandungan di pelantar media sosial miliknya. Foto Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, 22 Sep – Kegagalan Meta, syarikat induk pelantar media sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp yang didapati gagal membanteras aktiviti jenayah dalam talian yang semakin berleluasa, meskipun ribuan aduan dikemukakan, merupakan kegagalan serius yang amat membimbangkan.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, setakat 19 September lalu, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dihantar kepada Meta bagi pelantar Facebook sahaja, namun tahap tindakan syarikat itu masih mengecewakan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau memaklumkan bahawa daripada jumlah itu, 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian, manakala selebihnya membabitkan penipuan, kandungan palsu, isu 3R serta produk terlarang termasuk rokok elektronik yang mengandungi dadah.
Menurutnya, hanya 114,665 kandungan berjaya diturunkan, manakala 37,722 kandungan penipuan masih gagal dibanteras.

“Berdasarkan statistik JSJK PDRM, kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) bagi tempoh 2023 hingga Ogos 2025 mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta, melibatkan 18,128 kes,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan bahawa jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber, sekaligus memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat.
Fahmi menegaskan bahawa Kementerian Komunikasi, bersama agensi penguat kuasa, akan memperkukuh langkah pemantauan dan mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama Meta tidak dipertingkatkan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


