Mesyuarat MTEN Teliti Kesan Krisis Tenaga Global – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya pada 7 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 7 Apr – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung hari ini meneliti kesan krisis tenaga global dengan fokus utama melindungi rakyat selain menjamin keterjaminan bekalan strategik negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan juga terus diperkukuh melalui pemantauan rantaian bekalan yang lebih ketat serta pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI juga memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan melalui pemantauan stok berpusat, kepelbagaian sumber import serta pelan kecemasan bagi memastikan keperluan kritikal sentiasa mencukupi.

“Bagi jangka panjang, Kerajaan akan memperkukuh stok penimbal strategik, membangunkan industri tempatan serta merangka dasar menyeluruh melalui MyMedSecure.
“MTEN turut meneliti operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan keutamaan kepada keselamatan dan kebajikan mereka ,” ujar Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara tersusun dan bertanggungjawab mengurus krisis tenaga global dengan berkesan selain memastikan rakyat dilindungi serta negara kekal berdaya tahan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
