Merefromasi Kuala Lumpur Sebagai Destinasi Premium Tahun Melawat Malaysia 2025

Andre Lai selaku Ahli Lembaga Penasihat DBKL meihat terdapat keperluan mendesak dalam mereformasi sistem dan keupayaan mempromosi Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan premium sesuai dengan transformasi yang diilhamkan PM Anwar kepada infrastruktur penjaja dan peniaga di ibu kota. Foto Andre Lai

PENDAPAT, 30 Sep – Sektor pelancongan merupakan salah satu teras ekonomi negara. Menurut data Jabatan Statistik Malaysia, sektor ini menyumbang RM86.14 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2019, dengan jumlah pelawat antarabangsa melebihi 26 juta orang. Pretasi sektor pelancongan kurang memberangsangkan selepas itu, akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor pelancongan negara dari tempoh 2020-2022.

Walau bagaimanapun, sektor pelancongan di Kuala Lumpur menghadapi beberapa cabaran yang menjejaskan prestasinya pada tahun 2023. Tidak dapat dinafikan, persaingan hebat dari destinasi pelancongan lain di dunia dan kekurangan daya saingan produk pelancongan yang unik dan kreatif menjejaskan imej negara sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Perpaduan telah melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2025 dengan matlamat untuk menarik 23.5 juta pelancong antarabangsa dan menjana pendapatan sebanyak RM76.8 bilion. Kempen ini juga bertujuan untuk meningkatkan daya saing negara dalam industri pelancongan serantau dan global. Sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya pernah berkongsi pendapat di dalam mesyuarat jawatankuasa dalaman DBKL sendiri.

Andre Lai selaku Ahli Lembaga Penasihat DBKL meihat terdapat keperluan mendesak dalam mereformasi sistem dan keupayaan mempromosi Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan premium sesuai dengan transformasi yang diilhamkan PM Anwar kepada infrastruktur penjaja dan peniaga di ibu kota. Foto Andre Lai

Negara kita mempunyai kelebihan dalam menawarkan pelbagai tarikan pelancongan yang mempunyai daya tarikan tinggi. Sebagai sebuah metropolis dan gerbang utama ke Malaysia, Kuala Lumpur menjadi pelopor dalam pelbagai bidang dan seharusnya menjadi perintis dalam pemain industri pelancongan Malaysia.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyumbang jumlah tertinggi kedatangan pelancong tetapi kurang inisiatif dalam mempromosikan pelancongan di wilayah itu sendiri. Sebenarnya, Kuala Lumpur yang dikendalikan DBKL mempunyai banyak produk yang menarik, tetapi gagal untuk dikongsikan kepada pemain industri hotel dan agen pelancongan.

Kepelbagaian produk dan daya tarikan Kuala Lumpur memang mengagumkan seperti taman tasik, muzium, mural, tempat makan penuh dengan aneka rasa, syurga membeli-belah, perkampungan budaya dan tempat santai yang patut diterokai dan dipromosi dengan lebih giat.

Namun begitu, selain daripada KLCC, tidak banyak yang dipromosikan kepada pelancong. Saya perhatikan, ramai pelancong yang masuk melawat KLCC, dan biasanya selepas itu akan mengunjungi Batu Caves dan Sunway Pyramid di Selangor – meskipun di dalam pusat bandaraya sendiri ada banyak tempat menarik yang belum diterokai seperti Central Market atau Petaling Street yang jaraknya hanya 300 meter!

Saya memahami usaha DBKL yang banyak menjalankan program dan aktiviti mensasarkan tarikan pelancong, tetapi ia tidak disebarkan dengan efektif kepada pemain industri dan mereka yang berkaitan. Bahkan di lapangan terbang, agensi pelancongan, media masa dan media sosial tidak banyak memasarkan Kuala Lumpur sebagai destinasi premium buat pelancong terutama pertama kali menjejakkan kaki ke negara kita.

Tiadanya agensi khusus untuk mempromosikan Kuala Lumpur turut menjadi punca produk pelancongan kurang mendapat sambutan. Tidak seperti negeri-negeri lain yang mempunyai lembaga penggalakkan pelancongan (Tourism Board) tersendiri, di Kuala Lumpur mungkin pihak yang ada hanyalah Jabatan Kebudayaan, Seni, Sukan dan Warisan DBKL yang mengambil peranan sebagai agen pemasaran pelancongan tempatan.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa DBKL mempunyai pasukan okestra serta tarian kebudayaan sendiri dan mereka sering menjalankan persembahan profesional di arena antarabangsa!

Walau bagaimanapun, fungsi DBKL tidak seharusnya dibandingkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mempunyai peruntukan yang jauh lebih besar. Malah cukai pelancong yang dikutip melalui MyTTX (Malaysia Tourism Tax) tidak dimanfaatkan untuk usaha mempromosi pelancongan di Kuala Lumpur, sedangkan di negeri lain, peruntukan diberi kepada lembaga pelancongan masing-masing.

Satu penyelarasan harus dilakukan dan wajar kita belajar daripada rakan-rakan kita di China, Hong Kong dan Singapura yang begitu berjaya dalam industri pelancongan mereka.

Di Hong Kong misalnya, setibanya ke Lapangan Terbang Chep Lap Kok, pelancong akan diberi buku panduan pelancongan. Hampir di setiap stesen MTR turut mempunyai panduan destinasi pelancongan berdekatan dengan setiap stesen metro di wilayah itu.

Hong Kong juga terkenal dengan acara antarabangsa yang mampu menarik perhatian pelancogan dari Asia dan Barat. Pendekatan yang sama boleh diadaptasikan di Kuala Lumpur untuk menonjolkan imej dan identiti sebagai bandaraya yang dinamik, maju dan berbudaya.

Contohnya, acara-acara seperti festival seni, karnival makanan, pameran teknologi, sukan ekstrem dan konvensyen antarabangsa boleh diadakan di lokasi-lokasi strategik seperti Dataran Merdeka, Tasik Perdana, Bukit Bintang, Pusat Konvensyen KLCC dan banyak lagi. Ini dapat menarik pelancong untuk menyertai atau menyaksikan acara-acara tersebut, sekaligus meningkatkan aktiviti ekonomi dan sosial di sekitar kawasan tersebut.

Namun apabila disentuh soal penganjuran program, isu kutipan cukai pula menjadi cabaran kepada pihak penganjur swasta yang dikenakan kadar yang tinggi. Ramai pengusaha mengadu cukai hiburan yang mencecah 25 peratus yang dianggap terlampau tinggi dan kaedah pembayaran yang kompleks justeru menjauhkan mereka daripada industri ini.

Sebenarnya, Malaysia mempunyai warisan sejarah yang bernilai. Sebagai satu masyarakat berbilang kaum, acara kebudayaan di Malaysia juga harus diperkasakan untuk menonjol keunikan negara kita. Seni bina bangunan zaman kolonial misalnya, wajar dijadikan satu warisan.

Kawasan yang padat dengan kedai-kedai dari zaman Victoria, seperti di kawasan sekitar Bukit Bintang harus dipelihara atau ditambah tarikannya dengan lukisan mural atau pembaharuan struktur bangunan.

Prasarana dan infrastruktur asas harus diperkuatkan demi menjamin kemampaman industri pelancongan di Malaysia. Saya pernah mendapat maklum balas daripada pengusaha hotel sendiri, yang bertanya mengapa pelancong membuat penempahan melalui kaedah AirBnb dan portal seperti Agoda atau Booking dot com yang berpangkalan di luar negara?

Bayangkan, setiap trasaksi melalui portal luar negara ini, cukai akan dibayar di negara mereka dan bukannya untuk kerajaan Malaysia. Barangkali, adalah satu idea yang baik untuk membina portal yang sedemikian oleh Kerajaan Malaysia dan dimiliki oleh Kerajaan Malaysia sendiri. Melalui cara ini, ia lebih merapatkan pengusaha hotel dengan sendiri dan mampu merangka rancangan akan datang dengan lebih profesional.

Usaha pemasaran produk pelancongan harus diselaraskan dan bersasar kepada kumpulan pelancong yang sesuai. Tidak kira media sosial, media masa mahupun libat urus dengan pemain industri, penyampaian acara atau tempat tarikan harus konsisten dan disebarkan meluas kepada semua yang terlibat.

Pendek kata, industri pelancongan di Kuala Lumpur memerlukan langkah-langkah yang holistik dan komprehensif untuk mengharungi cabaran dihadapi pada tahun 2023 sebagai persediaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2025 kelak.

Coretan artikel ini adalah sekadar cebisan perbincangan dengan pemain industri. Saya berpendapat, kita seharusnya melihat secara serius kaedah pendekatan untuk merancakkan perkembangan industri pelancongan negara. Dalam masa dua bulan lagi kita akan ke tahun baharu.

Segala rancangan harus dimuktamadkan sekarang kerana 2024 menjadi masa terbaik untuk Kuala Lumpur bersedia menjadi destinasi premium pelancong luar negara serta pembuka tirai bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2025.

Andre Lai
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel

Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *