GPM Sambut Baik Langkah Kerajaan Serah Semula Aset Tabung Haji

Pengerusi GPM, Mohd Firdaus Jaafar menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang akan menyerahkan kembali aset TH setelah kedudukan kewangan badan itu kembali pulih. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 30 Sep – Gabungan Perpaduan Madani (GPM) menyambut baik keputusan kerajaan menyerahkan semula aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan (MOF) pada tahun 2018 dibuat berikutan kejayaan Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH.

Menurut Pengerusi GPM, Mohd Firdaus Jaafar, tindakan menyerahkan aset TH kepada MOF bertujuan menyelamatkan aset TH sementara penyusunan dilakukan bagi mengembalikan kepercayaan pendeposit yang termakan dengan fitnah jahat pihak tertentu ketika itu.

”Sebenarnya tindakan menyerahkan aset TH kepada MOF suatu tindakan yang betul sekaligus menolak fitnah aset TH kononnya dijual kepada syarikat bukan Islam.

”Mewakili GPM, saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar selaku Menteri Kewangan yang memaklumkan MOF kini dalam proses rundingan menyerahkan kembali aset kepada TH,” katanya.

Mohd Firdaus juga mengalu-alukan perbincangan secara rasmi antara TH dan MOF bagi menyusun langkah-langkah pentadbiran pengambilan semula aset yang akan dipindahkan kelak.

Pengerusi GPM, Mohd Firdaus Jaafar menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang akan menyerahkan kembali aset TH setelah kedudukan kewangan badan itu kembali pulih. Foto Arkib

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keupayaan dan kestabilan kewangan TH sekarang.

Katanya, keputusan Perdana Menteri membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan untuk memartabat TH selaku institusi berdaya saing serta model pengurusan terbaik yang menghayati nilai-nilai Islam.

“Kami menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk menyerahkan semula aset Lembaga TH yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, sebuah syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Kerajaan memaklumkan akan menyerahkan semula aset Lembaga TH yang diletakkan di bawah SPV MOF.

Keputusan itu dibuat selepas MOF berpuas hati dengan isu pengurusan dan tata kelola yang berbangkit sebelum ini, selain prestasi kewangan TH yang terus memulih, khususnya selepas bergelut isu kepincangan sebelum ini.

Penyerahan semula aset TH itu juga membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan di bawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melonjakkan Lembaga Tabung Haji dengan tadbir urus integriti dan profesional demi menjaga kepentingan umat Islam serta pendeposit.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *