Menyuluh Integriti Dan Masa Depan Wilayah Persekutuan – Andre Lai

Wilayah Persekutuan wajar diperkasa dengan semangat dan reformasi pentadbiran tanpa mengorbankan elemen integriti, jiwa merdeka dan keindahannya yang tersendiri. Foto Andre Lai
PENDAPAT, 1 Feb – Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini membawa kita kembali kepada lipatan sejarah penubuhannya pada tahun 1974. Sebagai pusat nadi negara yang terus berkembang pesat, Wilayah Persekutuan bukan sekadar sebuah entiti pentadbiran, malah ia merupakan simbol kemajuan dan penyatuan seluruh rakyat Malaysia.
Penting untuk kita semua sedar dan menjunjung tinggi bahawa di sebalik segala kemelut perbahasan mengenai Akta Ibu Kota, kedudukan Wilayah Persekutuan adalah sentiasa tertakluk di bawah naungan suci Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Baginda merupakan payung kedaulatan yang memastikan kestabilan dan keharmonian wilayah ini kekal terpelihara di atas segala kepentingan yang lain.
Dalam usaha memacu perubahan, saya amat menghargai komitmen kerajaan di bawah kepimpinan PMX yang meletakkan keadilan dan kesaksamaan sebagai teras pentadbiran.
Usaha munasabah ini amat diperlukan bagi memulihkan imej Kuala Lumpur yang sebelum ini pernah terpalit dengan isu rasuah serta kepincangan integriti. Kita memerlukan sebuah wilayah yang bersih dan telus demi kelangsungan generasi akan datang.
Namun, menyentuh mengenai cadangan pindaan Akta Ibu Kota bagi melaksanakan sistem ahli majlis serta pemberian kuasa pemantauan kelulusan pembangunan kepada Ahli Parlimen, saya mempunyai pendirian yang berbeza.

Saya tidak bersetuju dengan pendekatan ini kerana berpandangan bahawa penglibatan terus badan politik dalam fungsi teknikal DBKL boleh menjejaskan kecekapan dan prinsip pemisahan kuasa yang sepatutnya diamalkan secara profesional.
Walaupun saya mempunyai perspektif yang tidak selari dengan cadangan tersebut, saya tetap menghormati setiap perbezaan pendapat yang wujud dalam perbincangan ini. Itulah lambang kematangan dalam bernegara, di mana kita mampu berbahas secara sihat dan rasional demi mencari formula terbaik untuk kemajuan Kuala Lumpur.
Semoga Wilayah Persekutuan terus teguh sebagai wilayah yang progresif, adil, dan berwibawa di bawah naungan Baginda.
Selamat Hari Wilayah Persekutuan.
Bersamamu, Wilayahku.
LAI CHEN HENG
Mantan Ahli Lembaga Penasihat
Bandaraya Kuala Lumpur
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
