Menteri Luar Brazil Mulakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia

Mauro Vieira dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia. Foto AFP
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.
Dalam satu kenyataaan yang dikeluarkan Wisma Putra, ini merupakan lawatan pertama Vieira ke Malaysia sejak menyandang jawatan sebagai Menteri Luar pada 1 Januari 2023.
Dalam rangka lawatan ini, beliau dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan dua hala dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kata Wisma Putra, kedua-dua Menteri Luar Negeri ini dijangka membincangkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua buah negara, termasuk perdagangan dan pelaburan, industri Halal serta hubungan antara rakyat.
Kedua-dua pihak juga akan bertukar pendapat mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Brazil merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di benua Amerika Latin.
Pada 2023, Malaysia dan Brazil mencatat jumlah dagangan sebanyak RM17.46 bilion, iaitu peningkatan sebanyak empat peratus berbanding RM16.86 bilion yang dicatatkan pada 2022.
Terdahulu Vieira berada di Manila bagi lawatan serupa ke Filipina selama dua hari.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
