Menteri Kewangan G20 Bertelagah Isu Ukraine

Pertelagahan dalam mengeluarkan kenyataan media memaksa India sebagai tuan rumah persidangan mengeluarkan sendiri kenyataan tanpa mewakili pandangan rasmi G20.

BENGALURU, 26 Feb – Ketua-ketua kewangan Kumpulan 20 (G20) bagi negara perindustrian dan sedang pesat membangun, gagal mencapai kata sepakat dalam mengeluarkan kenyataan bersama berhubung serangan Russia ke atas Ukraine berikutan perbezaan pendapat.

Sebaliknya, negara pengerusi, India mengeluarkan sendiri ringkasan kenyataan mengenai mesyuarat menteri di Bengaluru itu.

Menurut India, ‘kebanyakan ahli mengutuk keras perang di Ukraine’ dan menggesa pengunduran tanpa syarat dari wilayah Ukraine.

Russia dan China, bagaimanapun tidak bersetuju dengan perenggan berkaitan dan menghalang persetujuan mengenai perkataan akhir dalam pengisytiharan bersama mengenai keputusan mesyuarat itu.

Terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan menteri kewangan dari Russia dan China mengenai takrifan pencerobohan Russia ke atas Ukraine sebagai ‘perang’.

Selepas mesyuarat itu, Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner, mengkritik Beijing.

Walaupun China mengambil langkah ke belakang, namun Brazil sebagai contoh, kini mempunyai pendirian yang lebih jelas, katanya.

Jumaat lalu, Jerman dan Perancis menjelaskan bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkataan yang tidak tepat dalam kenyataan yang dibuat oleh ketua negara dan kerajaan pada sidang kemuncak 2022 di Bali.

Pada November 2022 di Bali, G20 merumus dan menakrifkan pencerobohan Russia dengan jelas dan membuat kesimpulan dalam satu kenyataan bahawa ‘kebanyakan ahli mengutuk keras perang di Ukraine’, yang diulangi dalam kenyataan India semalam.

Kebiasaannya, selepas mesyuarat G20, penilaian dan matlamat bersama direkodkan dalam kenyataan.

Bagaimanapun, sejak pencerobohan Ukraine, perbincangan berulang kali tergendala kerana Russia adalah ahli kumpulan itu.

Terdapat juga perbezaan pendapat dalam mesyuarat itu mengenai hutang negara miskin.

Lindner menasihatkan China untuk bertindak dengan lebih bertanggungjawab dalam hal membabitkan kemungkinan pelepasan hutang.

China adalah salah satu pemberi pinjaman terbesar di dunia dan mengikut perkiraan Bank Dunia, negara termiskin perlu memindahkan kira-kira AS$62 bilion (RM275 bilion) setiap tahun kepada pemiutang untuk membayar hutang, yang mana satu pertiga berhutang kepada China.

– AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *