Lima Maut Nahas Pesawat Ringan Di Nevada

Sebuah pesawat pengangkutan perubatan Care Flight yang membawa seorang pesakit dan empat yang lain terhempas di Lyon County, Nevada dengan kesemua lima orang di dalamnya terbunuh. - Foto AP

STAGECOACH, NEVADA, 26 Feb – Kesemua lima individu yang menaiki pesawat pengangkutan perubatan, termasuk seorang pesakit, terbunuh dalam nahas membabitkan kapal terbang itu di kawasan pergunungan di utara Nevada, malam kelmarin.

 

Pejabat Syerif Daerah Lyon berkata, pihak berkuasa menerima panggilan mengenai nahas itu yang berlaku berhampiran Stagecoach, Nevada, sekitar 9.15 malam dan menemui serpihan pesawat itu dua jam kemudian.

Stagecoach adalah sebuah komuniti luar bandar yang menempatkan kira-kira 2,500 orang penduduk.

Ia terletak kira-kira 72 kilometer dari tenggara Reno.

Care Flight yang menyediakan perkhidmatan ambulans dengan kapal terbang dan helikopter, memaklumkan mangsa yang maut termasuk juruterbang, jururawat penerbangan, paramedik, pesakit dan ahli keluarga mereka.

Semalam, Reno Gazette Journal melaporkan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Barry Duplantis memaklumkan ahli keluarga kelima-lima mangsa telah dimaklumkan mengenai insiden itu.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mereka,” katanya.

Nahas itu berlaku di tengah-tengah amaran ribut musim sejuk yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Reno untuk sebahagian besar Nevada, termasuk di bahagian Lyon.

Perkhidmatan cuaca menjangkakan salji tebal, tiupan angin kencang sehingga 104 kilometer sejam (km/j) sekitar jam 4 pagi Jumaat lalu dan 4 pagi tadi.

Semalam, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) menerusi satu hantaran di Twitter berkata, pihaknya menghantar seramai tujuh orang pasukan penyiasat ke lokasi nahas.

Badan itu dijangka memperincikan lebih banyak maklumat hari ini menerusi satu sidang akhbar.

Rekod Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menunjukkan pesawat itu dihasilkan pada 2002.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata ketika ini pihaknya menghentikan penerbangan lain bagi memberi tumpuan dalam membantu agensi lain termasuk pasukan penyelamat dan keluarga mangsa. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *