Mengapa Status ‘Negara Pengeluar Minyak’ Bukan Lesen Untuk Harga Petrol Percuma?

Di sebalik ketidak tentuan bekalan bahan api global, Kerajaan MADANI di bawah PMX terus memberi subsidi bahan api BUDI95 sebanyak 200 liter di saat negara serantau mula mencatu atau mengurangkan penggunaan bahan api ekoran kenaikan harga minyak dunia. Foto Andre Lai Chen Heng

PENDAPAT, 1 Apr – Di kedai-kedai kopi sekitar Setapak dan Wangsa Maju, persoalan yang sering diajukan kepada saya adalah seragam: “Kita negara pengeluar minyak, kenapa harga tidak boleh turun lagi? Kenapa perlu ada had 200 liter bermula 1 April ini?”

Sebagai individu yang terlibat dalam perancangan strategik bandar raya, saya melihat isu ini melampaui angka di pam minyak. Ia adalah soal daya tahan ekonomi negara mendepani krisis tenaga sedunia yang semakin meruncing. Sekiranya ibu kota Kuala Lumpur terjejas, tidak boleh dibayangkan bagaimana isu ini menjejas seluruh negara.

Ancaman Selat Hormuz dan Realiti ‘Dua Alam’

Kita perlu berpijak di bumi nyata. Konflik di Timur Tengah, khususnya melibatkan Iran, tidak menunjukkan tanda akan reda. Selat Hormuz, nadi utama bekalan minyak dunia, kini berada dalam zon merah. Kesannya? Harga minyak mentah dunia (Brent) telah melonjak melepasi USD100 setong.

Ramai terkeliru dengan status Malaysia sebagai pengeluar minyak. Hakikatnya, kita berada dalam situasi yang sangat teknikal:

Fakta dan Angka: Antara Populisme dan Kelestarian

Seperti yang ditegaskan oleh mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini, tanpa subsidi, harga pasaran sebenar RON95 kini mencecah RM3.87 seliter, manakala diesel mencecah RM5.52.

Bil subsidi negara kini melonjak mencecah RM4 bilion sebulan untuk menampung harga import petrol yang mahal akibat krisis global. Di sinilah letaknya keperluan mekanisme Subsidi Bersasar (BUDI95). Mengekalkan harga pada RM1.99 seliter adalah satu “keajaiban fiskal” di saat negara jiran membayar antara RM6 hingga RM9 seliter.

Kita harus belajar daripada kegagalan Venezuela. Akibat terlalu bergantung kepada subsidi melampau tanpa kawalan fiskal, industri minyak mereka runtuh kerana tiada modal penyelenggaraan, menyebabkan ekonomi lumpuh dan inflasi mencanak. Had 200 liter adalah langkah strategik bagi memastikan wang cukai tidak ketirisan kepada golongan maha kaya atau aktiviti penyeludupan.

Kestabilan Kuala Lumpur dan VMY2026

Penetapan harga RM1.99 ini adalah benteng utama dalam mengekalkan daya saing Malaysia, terutama bagi sektor perkhidmatan di Kuala Lumpur. Tanpa langkah capping ini, kos logistik dan e-hailing akan meledak—sekaligus memberi imej negatif terhadap kos sara hidup negara.

Sebagai mantan Ahli Lembaga Penasihat (ALP) DBKL yang pernah memberikan fokus utama kepada persediaan rapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), saya melihat kestabilan harga bahan api adalah kunci utama agar ekonomi warga kota tidak lumpuh akibat inflasi tenaga sebelum kempen besar ini bermula. Kita mahu Malaysia kekal sebagai destinasi yang kompetitif di persada antarabangsa dengan struktur kos yang terkawal.

Kesimpulan

Petronas bukan “cek kosong”. Keuntungannya perlu dilaburkan semula (CAPEX) untuk mencari telaga baru bagi menjamin pengeluaran masa depan. Keputusan mengekalkan harga RM1.99 melalui BUDI95 adalah bukti keprihatinan kerajaan yang cuba mengimbangi kebajikan hari ini dengan kelangsungan hari esok.

Di sebalik krisis global dan ketidaktentuan di Selat Hormuz, kita harus memilih kestabilan ekonomi, bukannya retorik harga murah yang akhirnya membawa rebah kepada fiskal negara.

LAI CHEN HENG ialah mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *