Memasuki Ramadan, Rakyat Gaza Terus Berdepan Krisis Kemanusiaan

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sekatan berterusan terhadap kemasukan bekalan asas memburukkan lagi penderitaan ratusan ribu penduduk bermula Ramadan pada 18 Februari 2026.
GAZA, 22 Feb – Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, namun krisis keamanan di Gaza masih meruncing ketika rakyat Gaza menjalani ibadah puasa bulan Ramadan memasuki hari keempat hari ini.
Ia berikutan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, terus berdepan kekurangan bekalan makanan, bekalan air bersih serta kemudahan perubatan yang semakin berkurangan.
Bagi keluarga yang dipindahkan, Ramadan disambut dalam khemah sementara dengan keadaan serba daif dan penuh kekurangan.

Seorang penduduk yang tinggal bersama enam ahli keluarganya di sebuah khemah, Raed Hajjaj, berkata usaha mendapatkan makanan menjadi kebimbangan harian kerana mereka tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan bergantung hampir sepenuhnya kepada dapur amal di kawasannya serta bantuan kemanusiaan antarabangsa.
“Kami sekeluarga tujuh orang. Kami menerima satu bungkusan makanan setiap minggu atau setiap 10 hari, jika berjaya mendapatkannya.
“Kami hidup bergantung kepada dapur amal atau sekadar roti. Ia langsung tidak mencukupi,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Raghdah Hajjaj berkata, keadaan berlapar bukan sesuatu yang asing buat mereka, malah sudah menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan seharian sebelum Ramadan bermula.
Katanya, pada malam pertama Ramadan, mereka hanya berkongsi sedikit keju dan kacang fava untuk diagihkan kepada anak-anak.
Sementara itu, agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sekatan berterusan terhadap kemasukan bekalan asas memburukkan lagi penderitaan ratusan ribu penduduk yang dipindahkan serta menjejaskan usaha menyalurkan bantuan minimum.

Pengarah Rangkaian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Palestin, Amjad Al-Shawa berkata, kira-kira 1.5 juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di khemah rosak, selain memerlukan bantuan asas termasuk makanan, air, bekalan perubatan dan barangan kebersihan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
